Insiden kepala air: SAR diteruskan dengan rondaan jalan kaki

KUALA LUMPUR - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang dihanyutkan arus deras di Sungai Kelang pada Isnin lepas, diteruskan hari ini dengan kaedah rondaan berjalan kaki sejauh 26 kilometer, bermula dari Persimpangan Masjid Jamek hingga ke Kampung Tengah, Puchong di sini.
Ketua Polis Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata operasi yang memasuki hari keempat itu bermula 8 pagi tadi melibatkan 13 pasukan dengan setiap pasukan menelusuri tebing-tebing sungai sehingga ke kawasan perangkap sampah di Kampung Tengah, Puchong sejauh dua kilometer.
Operasi melibatkan kira-kira 200 anggota termasuk 120 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), 60 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), serta anggota daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Angkatan Pertahanan Awam dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
"Tindakan ini dilakukan berikutan pada hari kejadian dilaporkan paras air tinggi yang mungkin menyebabkan mangsa tersangkut di tebing sungai. Namun mangsa masih belum ditemui dan usaha mencari serta menyelamat terus dijalankan,” katanya pada ketika ditemui di lokasi kejadian di sini hari ini.
Sazalee berkata operasi SAR hari ini turut menggunakan empat bot, beberapa kayak, bantuan dron, unit penyelam serta dua anjing dari unit Anjing Pengesan K9 daripada PDRM dan pasukan bomba.
SAR katanya akan diteruskan hingga 7 malam dan sekiranya mangsa masih gagal ditemui, operasi akan disambung pagi esok.
"Setakat ini pasukan pencarian tidak menemui sebarang petunjuk baharu yang dapat membantu dalam pencarian mangsa,” katanya.
Dalam kejadian pada jam 5.40 petang Isnin lepas, K Suresh, 37, yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma selepas terperangkap di bawah jambatan.
Seramai 11 pekerja pembinaan lain bagaimanapun berjaya diselamatkan JBPM. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
