SPRM syor perketat tatakelola projek MyKiosk elak ketirisan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membentangkan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berhubung pengurusan serta pelaksanaan projek MyKiosk.
SPRM dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan, syor berkenaan dikemukakan susulan beberapa isu berkaitan pelaksanaan projek itu, termasuk dakwaan tidak mencapai objektif kerajaan serta menimbulkan ketidakselesaan kepada rakyat akibat penempatan kiosk yang tidak sesuai.
Antara cadangan dikemukakan ialah pelaksanaan kajian keperluan secara komprehensif yang meliputi penilaian kebolehlaksanaan serta impak ekonomi sebelum sesuatu projek dilaksanakan.
Selain itu, SPRM turut mencadangkan supaya keberhasilan projek MyKiosk Madani dimasukkan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI), selain penubuhan unit pemantauan atau jawatankuasa khas bagi memantau keberkesanan projek secara berterusan.
Dua lagi cadangan ialah menambah baik Garis Panduan Inisiatif MyKiosk Madani yang merangkumi aspek perolehan, pengurusan dan pemantauan, serta mewujudkan Garis Panduan Pelaksanaan Projek Pembangunan di bawah peruntukan Persekutuan sebagai rujukan operasi yang menyeluruh.
Cadangan tersebut dibuat berdasarkan isu membabitkan peruntukan kerajaan bagi projek MyKiosk berjumlah RM50 juta pada 2023 dan RM100 juta pada 2024.
Antara isu dikenal pasti ialah ketiadaan kajian keperluan serta mekanisme pemantauan keberhasilan yang komprehensif, termasuk KPI, sekali gus menjejaskan penilaian impak projek di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Kesemua syor berkenaan dibentangkan oleh Timbalan Pengarah 1 Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Maznah Che Muda kepada Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali dalam satu sesi pembentangan di sini pada Isnin.
Sesi pembentangan itu turut disaksikan oleh Pengarah Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM, Datuk Mohd Zaki Hassan.
Mohd Zaki berkata, pembentangan tersebut diterima baik dan dipersetujui JKT untuk dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang bentuk salah guna kuasa serta menutup peluang berlakunya jenayah rasuah.
Menurutnya, langkah penambahbaikan itu dijangka mampu memperkukuh pelaksanaan projek MyKiosk supaya lebih telus, berfokus dan berakauntabiliti.
“Penambahbaikan ini penting bagi memastikan setiap peruntukan kerajaan dimanfaatkan secara optimum serta memberi pulangan kepada rakyat,” katanya.
Sementara itu, Mohd Fadzli berkata, pihaknya menyambut baik kesemua cadangan penambahbaikan yang disyorkan SPRM.
Beliau berkata, komitmen tersebut dizahirkan menerusi pemeteraian bersama Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM dan JKT.
Katanya, pelaksanaan cadangan berkenaan dijangka dapat memperkukuh sistem pemantauan projek pembangunan di bawah seliaan jabatan itu pada masa hadapan.
Turut hadir pada sesi berkenaan ialah Pengarah Bahagian Pembangunan JKT, Mas Midyawam Ahmad Tajudin dan Pegawai Integriti KPKT, Mohd Syafiq M Yashim.
Ringkasan AI
- SPRM membentangkan lima syor penambahbaikan pengurusan projek MyKiosk kepada KPKT
- Syor termasuk kajian keperluan dan impak ekonomi, memasukkan projek dalam KPI, serta menambah baik pengurusan dan pemantauan
- Cadangan dibuat berdasarkan isu-isu seperti ketiadaan kajian keperluan dan pemantauan yang komprehensif
- Timbalan Pengarah SPRM, Maznah Che Muda, mempresentasikan syor kepada Ketua Pengarah JKT, Datuk Mohd Fadzli Mohd Kenali
- Mohd Fadzli menyatakan komitmen untuk melaksanakan cadangan penambahbaikan bagi meningkatkan keberkesanan dan keberhasilan projek MyKiosk
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

