'Mayat adik masih elok, kami cam melalui muka dan tatu' - Abang mangsa kepala air Sungai Klang

SHAH ALAM – “Keadaan mayat adik masih elok. Kami cam melalui muka dan tatu dia.”
Itu kata abang kepada mendiang K Suresh, 37, yang ditemukan selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma, Isnin lalu.
Abang mangsa yang enggan dikenali berkata, mereka dibawa oleh polis untuk proses pengecaman sebaik sahaja menerima maklumat penemuan mayat berkenaan.
"Saya dan beberapa adik-beradik lain melakukan pengecaman terhadap tubuh mendiang.
"Mereka bawa kami terus ke lokasi mayat adik ditemui, bila tengok mayat, memang sah adik saya, mukanya, tatu, semuanya sama dan mayat dia masih elok," katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Forensik Hospital Shah Alam, di sini pada Jumaat.
Katanya, mereka baru sahaja bertemu pada Ahad lalu dan tidak melihat sebarang perubahan ketara pada adiknya.
"Hari Ahad itu kami bertemu seperti biasa, tiada sebarang perubahan yang ditunjukkan mendiang.
"Bila hari kejadian itu, dapat panggilan kata adik hilang serta dipercayai lemas, kami sekeluarga memang terkejut, sampai sekarang pun masih terkejut, kejadian itu berlaku sekelip mata," katanya.
Menurutnya, Suresh seorang yang rajin, berani dan disenangi sesiapa sahaja yang mengenalinya.
"Dia tak memilih dalam berkawan, memang baik dengan semua orang, selain itu dia juga baik dengan rakan serta anak buahnya ketika bekerja, tak kisah sama ada mereka warga tempatan atau asing.
"Sikapnya juga sebegitu, seorang yang ceria dan periang dalam keluarga, kehilangannya amat dirasai kami sekeluarga," katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR).
"Polis banyak beri sokongan moral, Ketua Polis Daerah sebelum ini beri jaminan akan sedaya upaya melakukan usaha mencari dan menyelamat adik saya.
"Saya ucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat, pihak bomba dan pelbagai agensi yang membantu, kami sangat berterima kasih, akhirnya adik ditemukan," katanya.
Terdahulu, mayat seorang lelaki yang hilang selepas dihanyutkan kepala air Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Isnin lalu ditemukan di Sungai Kandis, Shah Alam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam mengesahkan mangsa ditemukan sekitar jam 10.30 pagi sebelum dibawa ke Hospital Shah Alam untuk proses bedah siasat.
Media sebelum ini melaporkan dalam kejadian pada jam 5.40 petang Isnin lepas, K Suresh, 37, yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan kepala air berhampiran Pintasan Saloma selepas terperangkap di bawah jambatan.
Seramai 11 pekerja pembinaan lain bagaimanapun berjaya diselamatkan.
Ringkasan AI
- Keadaan mayat K Suresh yang ditemukan selepas dihanyutkan kepala air di Sungai Klang masih dalam keadaan baik dan dikenali melalui muka serta tatu
- Abang mangsa serta keluarga dibawa oleh polis untuk proses pengecaman mayat
- Keluarga terakhir bertemu dengan Suresh sehari sebelum kejadian tanpa melihat perubahan ketara padanya
- Suresh digambarkan sebagai individu yang rajin, berani dan disenangi ramai
- Pihak keluarga menyatakan penghargaan terhadap usaha pencarian dan penyelamatan oleh polis dan agensi terlibat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

