Dua pengarah syarikat didakwa pecah amanah lebih RM500,000

KUALA LUMPUR - Dua pengarah sebuah syarikat bistro dan kafe mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan pecah amanah wang syarikat berjumlah RM543,382.23.
Alice Yeo @ Yeo Lik Chien, 49, dan Ong Jyh Shyang, 60, didakwa sebagai pengarah Syarikat Shisha Lounge & Cafe Sdn Bhd, yang diberi amanah menguruskan kewangan syarikat, telah memindahkan wang berkenaan ke akaun bank milik sebuah syarikat lain.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Jalan Solaris pada 4 Januari 2023 dan 7 Julai 2025, mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara dua hingga 20 tahun, sebat dan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Izzat Amir Idham menawarkan jaminan RM50,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan serta syarat tambahan menyerahkan pasport dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Peguam N Grace yang mewakili Alice memohon jaminan dikurangkan antara RM20,000 hingga RM30,000 kerana anak guamnya menghadapi kemurungan dan masalah buah pinggang.
Manakala peguam Segeran yang mewakili Jyh Shyang memohon jaminan RM10,000 atas alasan anak guamnya menanggung keluarga dan menghidap penyakit darah tinggi serta kencing manis.
Hakim Azrul Darus membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM25,000 setiap seorang bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dimohon pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 13 Mac ini untuk sebutan kes. - Bernama
Ringkasan AI
- Dua pengarah syarikat bistro dan kafe didakwa melakukan pecah amanah RM543,382.23
- Alice Yeo dan Ong Jyh Shyang memindahkan wang ke akaun syarikat lain
- Didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan, berisiko hukuman penjara hingga 20 tahun
- Jaminan RM50,000 ditawarkan, tetapi kemudian dikurangkan ke RM25,000 dengan syarat tambahan
- Mahkamah menetapkan tarikh 13 Mac untuk sebutan kes
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
