Kukuhkan infrastruktur tangani insiden kepala air kawasan bandar

Kejadian yang meragut nyawa penyelia tapak pembinaan merupakan gambaran jelas bahawa kawasan bandar turut terdedah kepada risiko fenomena kepala air.
Kejadian yang meragut nyawa penyelia tapak pembinaan merupakan gambaran jelas bahawa kawasan bandar turut terdedah kepada risiko fenomena kepala air.
A
A
A

PENEMUAN mayat seorang lelaki yang dihanyutkan dalam insiden kepala air di Sungai Klang berhampiran Pintasan Saloma pada Jumaat mengundang kebimbangan terhadap keselamatan awam di ibu kota, khususnya ketika negara bakal memasuki musim tengkujuh hujung tahun ini.

Dalam kejadian jam 5.40 petang pada Isnin lalu, K Suresh, 37, yang bekerja sebagai penyelia tapak pembinaan dihanyutkan kepala air selepas terperangkap di bawah jambatan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, mayat lelaki berkenaan dijumpai kira-kira jam 10.30 pagi pada Jumaat.

Seramai 11 pekerja pembinaan lain bagaimanapun berjaya diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Kejadian yang meragut nyawa Suresh itu bukan sekadar tragedi terpencil, tetapi gambaran jelas bahawa kawasan bandar turut terdedah kepada risiko fenomena kepala air.

Kepala air merujuk kepada fenomena limpahan air secara tiba-tiba dan deras akibat hujan lebat di kawasan hulu sungai.

Di kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, kepala air boleh berlaku apabila sistem sungai atau saliran tidak mampu menampung lonjakan aliran air secara mendadak.

Kuala Lumpur sering berdepan taburan hujan intensif pada akhir tahun akibat monsun timur laut.

Selain itu, beberapa faktor seperti permukaan berturap yang luas, sistem saliran dan penyempitan sungai boleh mendorong kepada risiko kepala air di bandar.

Artikel Berkaitan:

Untuk mengekang risiko kepala air di ibu kota, beberapa langkah proaktif perlu diberi keutamaan oleh kerajaan dan pihak berkuasa termasuk pemasangan siren amaran automatik di lokasi kritikal seperti Sungai Klang dan Sungai Gombak.

Selain itu, pihak berkuasa juga boleh memperluas penggunaan sensor paras air serta paparan digital di kawasan tumpuan supaya maklumat boleh diakses oleh pekerja kawasan berisiko.

Tragedi di Sungai Klang itu adalah peringatan tegas bahawa risiko kepala air di kawasan bandar tidak boleh dipandang ringan, lebih-lebih lagi menjelang musim tengkujuh.

Ia menuntut tindakan segera dan lebih sistematik daripada pihak berkuasa untuk memastikan keselamatan rakyat, pekerja dan pengguna ibu kota sentiasa terjamin.

Fenomena tersebut mungkin tidak dapat dielakkan, tetapi kesannya boleh diminimumkan melalui penyediaan sistem amaran awal, pemantauan yang berkesan dan perancangan bandar yang lebih responsif terhadap perubahan cuaca ekstrem.

Ringkasan AI

  • PENEMUAN mayat seorang lelaki di Sungai Klang meningkatkan kebimbangan keselamatan awam menjelang musim tengkujuh
  • K Suresh, penyelia tapak pembinaan, maut dihanyutkan kepala air di bawah jambatan
  • 11 pekerja pembinaan lain diselamatkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
  • Kepala air berlaku akibat limpahan air tiba-tiba dan sistem saliran bandar yang tidak mencukupi
  • Langkah proaktif seperti pemasangan siren amaran dan penggunaan sensor paras air diperlukan untuk mengurangkan risiko kepala air di bandar

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!