Inai masih merah dijari, isteri dijemput Ilahi selepas sejam bantu mangsa kemalangan

MACHANG – Belum pun genap dua bulan mendirikan rumah tangga, seorang wanita maut apabila kereta dipandu suaminya terlibat kemalangan di Banggol Petai di sini awal pagi Selasa.
Tragedi itu berlaku kurang sejam selepas pasangan berkenaan membantu seorang mangsa kemalangan jalan raya di Kota Bharu, sebelum kebahagiaan yang baru dibina berakhir dengan duka.
Mangsa, Siti Nurlieyana Azieka Rosli, 23, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian selepas tersepit dalam sebuah kereta jenis Proton Wira yang dinaiki bersama suaminya.
Suami mangsa, Mohd Khairil Akmal Md Rahim, berusia lingkungan 20-an, berkata, arwah isterinya menunjukkan perubahan emosi yang ketara sejurus selepas mereka membantu seorang penunggang motosikal yang cedera dalam kemalangan berhampiran KB Mall, Kota Bharu, lewat malam Isnin.
Menurutnya, sekitar jam 11.40 malam, mereka berhenti untuk membantu mengalihkan mangsa kemalangan serta mengawal lalu lintas sebelum meneruskan perjalanan pulang ke Kuala Krai.
“Dalam perjalanan pulang, arwah tiba-tiba merengek meminta saya menunjukkan kasih sayang.
“Dia kemudian merajuk, menangis dan beberapa kali menyebut tentang kematian.
“Antara kata-katanya yang masih terngiang di telinga saya, dia berkata, ‘ke nak tunggu mati dulu baru nak tunjuk sayang’,” katanya ketika ditemui di pekarangan bilik mayat Hospital Machang di sini pada Selasa.
Mohd Khairil Akmal berkata, tidak lama selepas itu, kenderaan yang mereka naiki terlibat dalam kemalangan sebelum isterinya disahkan meninggal dunia akibat kecederaan parah.
“Saya terkedu. Saya masih tidak percaya kata-kata arwah seolah-olah menjadi petanda kepada apa yang berlaku,” katanya dengan nada sebak.
Menurut Mohd Khairil Akmal, yang bekerja sebagai pempengaruh di platform TikTok, mereka baharu kira-kira 50 hari mendirikan rumah tangga, malah inai di jari isterinya masih merah.
Sekitar jam 12.50 pagi, ketika melalui kawasan Bukit Belah di Banggol Petai, kereta yang dipandunya dipercayai berpusing sebelum terbabas dan merempuh sebuah Mitsubishi Pajero.
“Sedar-sedar, isteri sudah bersandar pada saya. Ada darah keluar dari telinga dan hidungnya.
“Saya cuba menariknya keluar, tetapi dia tersepit,” katanya.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), manakala Mohd Khairil Akmal hanya mengalami kecederaan ringan di bahagian kaki.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan beberapa hari sebelum kejadian, arwah isterinya ada memuat naik status bernada sedih dan memohon maaf kepada ibunya.
“Hari lahir saya pada 7 Februari lalu, dia memuat naik status di WhatsApp sambil memanggil saya ‘daddy’,” katanya.
Pasangan tersebut bernikah pada 19 Disember tahun lalu, selepas beberapa kali perancangan perkahwinan tertangguh akibat masalah kewangan.
Allahyarham Siti Nurlieyana Azieka Rosli merupakan seorang suri rumah dan anak kelima daripada lapan beradik.
Jenazahnya dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chap, Bachok, di kampung halaman ibunya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

