Syerleena dakwa jadi mangsa serangan peribadi terancang

Syerleena (tengah) menunjukkan tangkap layar video yang didakwa mengandungi tuduhan fitnah, penyelewengan fakta dan naratif kebencian terhadapnya.
Syerleena (tengah) menunjukkan tangkap layar video yang didakwa mengandungi tuduhan fitnah, penyelewengan fakta dan naratif kebencian terhadapnya.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid mendakwa dirinya menjadi sasaran serangan peribadi secara terancang susulan penyebaran beberapa video di TikTok yang mengandungi tuduhan fitnah, penyelewengan fakta dan naratif kebencian terhadapnya.

Menurut Syerleena, terdapat tiga akaun TikTok yang didakwa menghasilkan kandungan memutarbelit kenyataan beliau, memperalatkan sentimen agama dan stereotaip gender bagi merendahkan imejnya sebagai seorang wanita Muslim dalam arena politik.

“Ini bukan sahaja serangan terhadap peribadi saya, ini adalah serangan terhadap nilai adab, kesopanan dan rasa hormat yang selama ini menjadi pegangan rakyat Malaysia.

“Saya mengecam video-video itu sekeras-kerasnya. Tiada ahli Parlimen tanpa mengira parti, agama, jantina atau latar belakang wajar dijadikan sasaran kandungan yang menggalakkan kebencian atau keganasan.

“Apabila maklumat palsu dibiarkan tersebar tanpa kawalan, ia merosakkan kepercayaan terhadap institusi dan mengadu domba rakyat antara satu sama lain,” katanya dalam sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Khamis.

Syerleena turut memaklumkan bahawa dua laporan polis telah dibuat berhubung perkara itu pada Rabu.

Beliau menegaskan bahawa penyebaran maklumat palsu di media sosial mampu merosakkan kepercayaan rakyat terhadap institusi serta mengundang ketegangan dalam masyarakat.

“Tindakan seperti ini boleh menyebabkan penjawat awam, aktivis, wartawan dan rakyat biasa berasa tidak selamat hanya kerana ada individu yang memilih untuk menyesatkan orang ramai demi tontonan,” ujarnya.

Beliau turut menggesa TikTok dan platform media sosial lain agar mengambil langkah lebih tegas dengan memadam kandungan berunsur fitnah, menggantung akaun yang berulang kali melanggar garis panduan serta meningkatkan tahap moderasi kandungan politik di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Pada masa yang sama, Syerleena meminta pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat pembuat video terbabit.

“Tujuannya bukan untuk membalas tetapi sebagai peringatan. Jika sempadan tidak ditegakkan, mereka yang menyebarkan kebencian akan terus berani.

“Syarikat media sosial juga perlu mengakui tanggungjawab mereka. TikTok dan platform lain tidak boleh lepas tangan atau sambil lewa terhadap bahaya yang terhasil akibat algoritma mereka,” katanya.

Ringkasan AI

  • Ahli Parlimen Bukit Bendera, Syerleena Abdul Rashid mendakwa dirinya menjadi sasaran serangan peribadi di TikTok
  • Serangan tersebut melibatkan tuduhan fitnah, penyelewengan fakta dan naratif kebencian
  • Syerleena mendakwa ada tiga akaun TikTok yang sengaja merendahkan imejnya sebagai wanita Muslim dalam politik
  • Beliau telah membuat dua laporan polis berhubung isu ini
  • Syerleena menggesa TikTok dan platform media sosial lain meningkatkan moderasi kandungan serta pihak berkuasa menyiasat kes ini

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!