Bapa dakwa anak jadi mangsa buli emosi selepas enggan benarkan rakan meniru

Surat pertukaran sekolah yang dihantar Mohd Anas kepada pihak sekolah.
Surat pertukaran sekolah yang dihantar Mohd Anas kepada pihak sekolah.
A
A
A

SEREMBAN - Hanya kerana enggan membenarkan rakan meniru ketika peperiksaan, seorang pelajar Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Rembau didakwa menjadi mangsa buli emosi oleh rakan sekelasnya.

Berkongsi perkara itu, bapanya, Mohd Anas Sudin berkata, anak perempuannya mendakwa disebabkan itu, dia sering dihina dan diejek dengan panggilan 'kacip' sehingga membuatkannya tidak mahu lagi pergi ke sekolah.

"Saya pelik juga sebab dia selalu beritahu tidak mahu pergi ke sekolah dan minta ditukarkan ke sekolah lain.

"Anak pada awalnya tidak mahu menceritakan sebabnya, namun selepas dipaksa beberapa kali, dia akhirnya mengaku sering diganggu rakan sekelas sejak tidak membenarkan meniru kertas peperiksaannya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, anaknya memaklumkan pernah membuat aduan kepada guru disiplin berhubung perkara itu, namun malangnya tiada tindakan diambil dan dia terus diganggu.

Mohd Anas tidak menolak kemungkinan guru tersebut beranggapan apa yang terjadi hanyalah perkara biasa, tetapi sebenarnya ia amat memberi kesan emosi kepada anaknya.

"Anak saya jadi tidak bersemangat untuk belajar dan saya sebagai bapa turut terkesan dengan keadaan itu.

"Jadi saya berbincang dengan isteri untuk membuat permohonan memindahkan anak ke sekolah lain, tetapi prosesnya agak sukar kerana tidak mendapat kerjasama daripada pihak sekolah yang memberi alasan guru besar tiada," katanya.

Bagi tujuan keselamatan, Mohd Anas berkata, dia telah meminta anaknya membuat laporan polis selain bagi mempercepatkan urusan pertukaran sekolah.

Artikel Berkaitan:

Dia bersyukur kerana tidak lama selepas itu permohonan pertukaran sekolah anaknya diluluskan dan kini dilihat lebih gembira.

"Anak saya sangat gembira apabila dapat berpindah ke sekolah lain dan saya kembali melihat semangatnya untuk belajar bersungguh-sungguh.

"Bila terjadinya kes Allahyarham Zara Qairina Mahathir itu, saya teringat kembali apa yang terjadi kepada anak saya.

"Walaupun anak hanya menjadi mangsa buli emosi, jika saya tidak bertindak awal mungkin ia akan memberi kesan yang lebih buruk," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!