Masjid Qaryah Paroi Jaya nafi imam terlibat dalam video tidak senonoh

SEREMBAN – Jawatankuasa Masjid Qaryah Paroi Jaya menafikan bahawa imam masjid berkenaan telah 'ditangkap' bersama seorang lelaki di dalam kereta melakukan perbuatan tidak senonoh seperti yang tersebar menerusi sebuah video pada Rabu.
Dalam video berdurasi 42 saat itu, kelihatan dua lelaki duduk di bahagian tempat duduk penumpang sebuah kereta dipercayai melakukan perbuatan mengaibkan sebelum disergah oleh seorang individu yang merakam kejadian berkenaan.
Mereka yang terkejut dilihat menutup muka masing-masing sebelum mengundurkan kenderaan lalu beredar dari kawasan parkir yang tidak dapat dipastikan lokasinya.
Pada video itu turut tertera keterangan berbunyi: “Seorang lelaki dipercayai Imam Masjid Paroi Jaya N9. Tengok video apa yang dia buat... Laporan polis dibuat oleh jabatan agama Islam.”
Setiausaha masjid, Muhammad Faiz Abdul Rahim berkata, pihaknya akan membuat laporan polis berhubung fitnah tersebut yang bukan sahaja mencemarkan nama baik masjid, malah menjejaskan imej institusi agama.
“Saya mengetahui tentang video itu apabila dikongsi oleh seorang hamba Allah yang mengatakan imam masjid kami telah melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kenderaan.
“Selepas menelitinya, kami mendapati imam masjid kami tidak terbabit. Malah jenis kenderaan dan nombor pendaftarannya seperti yang terpapar dalam video itu juga tidak dikenali,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Menurutnya, pihaknya tidak pasti mengapa imam masjid itu dikaitkan dan berharap siasatan lanjut dapat dilakukan oleh pihak berkuasa.
Pada masa sama, beliau berharap video tersebut tidak terus disebarkan kerana ia boleh mengaibkan umat Islam.
“Saya dengar kejadian itu, yang dikatakan dilakukan oleh penjawat awam di negeri ini berdasarkan logo pada bajunya, sudah kecoh.
“Tapi kami terkejut apabila ada yang menokok tambah dengan mengatakan imam kami melakukan perkara tidak senonoh ini. Ia jelas menjejaskan nama Islam dan institusi masjid,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Asri Abdullah berkata, pihaknya belum menerima laporan mengenai perkara itu, namun difahamkan ia kini dalam siasatan polis.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

