Bomba Melaka terima 20 kes lalang, belukar dan hutan terbakar hari ini

Antara kawasan belukar dan lalang yang terbakar di sekitar Melaka pada Sabtu.
Antara kawasan belukar dan lalang yang terbakar di sekitar Melaka pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima hampir 20 laporan kebakaran lalang, belukar dan hutan di negeri ini dalam tempoh 12 jam hingga jam 6 petang pada Sabtu.

Pegawai Perhubungan Awam JBPM Melaka, Timbalan Penguasa Bomba II Mohd Hafidzatullah Rashid berkata, antara lokasi terlibat di kawasan luar bandar dan kampung termasuk Kampung Janda Berhias, Kampung Langkap, Kampung Tanah Merah Baru dan Kampung Solok Mak Yah.

Menurutnya kebakaran turut dilaporkan di beberapa kawasan perumahan dan taman seperti Taman Merdeka Jaya, Taman Krubong Indah, Taman Bachang Baru serta kawasan perumahan Residence Prima dan A’Famosa.

“Kesemua kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba tanpa melibatkan sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan.

“Kebanyakan kebakaran berskala kecil berjaya dipadam dalam tempoh kurang 30 minit, namun terdapat juga kebakaran berskala besar yang memerlukan operasi berpanjangan,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, bagi kebakaran melibatkan kawasan seluas kira-kira 15 ekar, operasi pemadaman mengambil masa lebih enam jam termasuk pemantauan rapi, pemadaman menyeluruh serta kawalan titik panas (hotspot).

Beliau berkata, kebakaran terbuka dipercayai berpunca daripada pembakaran terbuka tidak terkawal selain dipengaruhi cuaca panas dan kering serta aktiviti manusia.

JBPM Melaka menasihatkan orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya ketika cuaca panas dan kering, bagi mengelakkan kebakaran merebak serta membahayakan keselamatan awam.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • JBPM Melaka menerima hampir 20 laporan kebakaran dalam 12 jam
  • Kebakaran melibatkan kawasan luar bandar, kampung, dan taman perumahan
  • Semua kebakaran berjaya dikawal dan dipadam tanpa kemalangan jiwa
  • Kebakaran kecil dipadam dalam kurang 30 minit, besar memerlukan operasi berpanjangan
  • Kebakaran dipercayai berpunca dari pembakaran terbuka tidak terkawal dan faktor cuaca

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!