Dua lelaki dalam video tidak senonoh ditahan

Laporan Sinar Harian pada 20 November lalu. Gambar kecil: Alzafny
Laporan Sinar Harian pada 20 November lalu. Gambar kecil: Alzafny
A
A
A

SEREMBAN - Dua lelaki yang dirakam melakukan perbuatan tidak senonoh di dalam kereta sehingga videonya tular telah pun ditahan untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kedua-dua lelaki berusia 36 dan 19 tahun itu ditahan pada Khamis dan Jumaat.

Menurutnya, polis telah menjalankan siasatan terhadap dua laporan diterima berhubung penularan video di media sosial berkaitan kelakuan tidak senonoh dua indvidu berkenaan di dalam sebuah kereta.

"Hasil siasatan polis mendapati kejadian itu berlaku di kawasan Bahau, Jempol dan dua lelaki terlibat termasuk remaja lelaki berusia 19 tahun telah pun ditahan.

"Turut dirampas sebuah kenderaan Perodua Alza dan dua buah telefon bimbit," katanya dalam kenyataan pada Jumaat

Alzafny berkata, siasatan kes itu akan dilakukan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan bagi kesalahan kelucahan melampau di tempat awam dan jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara dua tahun.

Tambahnya, polis turut menjalankan siasatan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas penularan berita tidak benar dalam media sosial yang mengaitkan kes itu dengan imam masjid di daerah Seremban.

"Bagi kesalahan Seksyen 500 Kanun Keseksaan, boleh dipenjara dua tahun, denda atau kedua-duanya.

"Bagi Sekyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, polis sedang menjalankan siasatan secara menyeluruh berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan atau kandungan di ruangan awam atau pun media sosial," tambahnya.

Terdahulu, media melaporkan bahawa Jawatankuasa Masjid Qaryah Paroi Jaya menafikan pembabitan imam masjid berkenaan dalam video terbabit.

Video selama 42 saat itu memaparkan perakam mengetuk cermin sebuah kereta yang di dalamnya terdapat dua lelaki dipercayai sedang melakukan perbuatan tidak senonoh.

Dalam rakaman video tersebut turut tertera keterangan berbunyi: “Seorang lelaki dipercayai Imam Masjid Paroi Jaya N9. Tengok video apa yang dia buat... Laporan polis dibuat oleh Jabatan Agama Islam.

Pihak masjid juga telah pun membuat laporan polis berhubung fitnah tersebut.

Ringkasan AI

  • Dua lelaki ditangkap kerana melakukan perbuatan tidak senonoh dalam kereta di Bahau, Jempol
  • Kenderaan Perodua Alza dan dua telefon bimbit dirampas
  • Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan, boleh dihukum penjara dua tahun
  • Penyiasatan tambahan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
  • Imam masjid di Seremban dinafi terlibat selepas video tular di media sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!