Cerun runtuh makin teruk, penduduk hilang rasa selamat

Nicole (kiri) bersama penduduk dan kontraktor melawat lokasi cerun runtuh di Taman Oakland.
Nicole (kiri) bersama penduduk dan kontraktor melawat lokasi cerun runtuh di Taman Oakland.
A
A
A

SEREMBAN – Penduduk Taman Oakland di sini hidup dalam keadaan resah apabila masalah runtuhan cerun di Sungai Kepayang yang berlaku sejak April tahun lalu  semakin memburuk.

Difahamkan, ia disebabkan paip air di kawasan berkenaan pecah berulang kali ketika kerja-kerja pembaikan cerun itu sedang dilakukan.

Akibatnya, kerja-kerja pembaikan yang bermula Oktober tahun lalu itu terganggu, malah struktur pagar tiga buah rumah yang terletak berhampiran sungai terbabit turut runtuh.

Salah seorang pemilik rumah, L Nesarajah, 63, berkata, dia bimbang penyewa rumahnya akan berpindah keluar pada bila-bila masa disebabkan masalah berkenaan.

"Rumah ini saya sewakan dan ia menjadi antara sumber pendapatan saya selepas bersara.

Keadaan tembok pagar rumah penduduk yang runtuh.
Keadaan tembok pagar rumah penduduk yang runtuh.

“Tapi kejadian hakisan dan tanah runtuh yang terjadi membuatkan penyewa saya bimbang untuk terus tinggal di sini," katanya

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Oakland, Abu Ibon, 63, pula berkata, pihaknya menerima aduan berhubung runtuhan cerun itu sejak April lalu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pada awalnya ia hanya kecil saja, tetapi kini semakin membimbangkan apabila menjejaskan tiga rumah penduduk.

“Keadaan jadi semakin teruk terutama ketika musim hujan pada penghujung tahun lalu, malah beberapa kali paip saliran air milik Syarikat Air Negeri Sembilan pecah sehingga menyebabkan tembok tiga rumah berhampiran sungai runtuh.

“Walaupun hanya tiga rumah yang terjejas, tapi semua penduduk di sini bimbang runtuhan berkenaan boleh merebak ke bahagian jambatan yang menjadi satu-satunya laluan masuk ke kawasan perumahan ini," katanya.

Keadaan cerun runtuh yang berhampiran rumah penduduk di Taman Oakland.
Keadaan cerun runtuh yang berhampiran rumah penduduk di Taman Oakland.

Ini kerana ujarnya, jambatan terbabit pernah runtuh lebih 10 tahun lalu sehingga menyulitkan kehidupan penduduk ketika itu.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepayang, Nicole Tan Lee Koon berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM3.4 juta bagi projek membaik pulih cerun berkenaan.

Ujarnya, projek itu diluluskan sejak Jun tahun lalu, namun kerja-kerja pembaikan hanya bermula pada Oktober.

“Kalau ikut perancangan projek ini dijangka siap pada April depan. Bagaimanapun, berlaku insiden paip pecah di lokasi projek yang menyebabkan struktur tanah menjadi tidak kukuh.

“Air yang mengalir menjadikan tanah lembut dan mendap, sekali gus memburukkan runtuhan. Kontraktor terpaksa mengukuhkan tapak paip terlebih dahulu sebelum meneruskan kerja,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Negeri Roadstone, Muhamad Haqime Amdan berkata, pihaknya akan memastikan kerja-kerja pembaikan akan dilakukan sebaik mungkin termasuklah pembaikan tembok pagar rumah penduduk yang terjejas.

“Kami juga bersedia berbincang dengan penduduk berhubung pampasan sehingga projek ini selesai.

"Ini kerana ada yang berhasrat tinggal menyewa sementara di tempat lain kerana bimbangkan keselamatan mereka. Kita akan bertanggungjawab sepenuhnya," katanya.

Ringkasan AI

  • Runtuhan cerun di Sungai Kepayang, Seremban memburuk sejak April tahun lalu akibat paip air pecah berulang kali
  • Kerja-kerja pembaikan cerun yang bermula Oktober tahun lalu terganggu dan menyebabkan struktur pagar tiga buah rumah runtuh
  • Penduduk Taman Oakland resah runtuhan boleh merebak ke jambatan satu-satunya laluan masuk ke kawasan perumahan
  • Kerajaan negeri memperuntukkan RM3.4 juta untuk projek pembaikan cerun, dijangka siap pada April depan
  • Kontraktor berjanji membaik pulih tembok pagar rumah terjejas dan bersedia berbincang berhubung pampasan penduduk

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!