Rokok seludup RM700,000 dirampas, seorang lelaki tempatan ditahan

Antara rampasan dalam siri serbuan menerusi Op Kontraban di sekitar daerah Hilir Perak pada 18 Oktober lalu.
Antara rampasan dalam siri serbuan menerusi Op Kontraban di sekitar daerah Hilir Perak pada 18 Oktober lalu.
A
A
A

TELUK INTAN – Polis berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan dan pengedaran rokok seludup bernilai RM700,000 dalam siri serbuan menerusi Op Kontraban di sekitar daerah Hilir Perak pada 18 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Dr Bakri Zainal Abidin berkata, kejayaan itu hasil risikan dan tindakan pantas pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak bersama Cawangan Khas serta Ketua Polis Balai Teluk Intan.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan selepas disyaki berperanan sebagai penghantar bagi sindiket pengedaran rokok seludup di kawasan berkenaan.

“Berdasarkan maklumat dan hasil soal siasat terhadap suspek, polis menjalankan tiga serbuan berasingan di beberapa lokasi sekitar Teluk Intan yang membawa kepada penemuan sejumlah besar rokok pelbagai jenama disyaki tidak bercukai.

Antara rampasan dalam siri serbuan menerusi Op Kontraban di sekitar daerah Hilir Perak pada 18 Oktober lalu.
Antara rampasan dalam siri serbuan menerusi Op Kontraban di sekitar daerah Hilir Perak pada 18 Oktober lalu.

“Dalam ketiga-tiga serbuan itu, polis merampas lebih 130 kotak dan beberapa guni berisi lebih 65,000 bungkus rokok pelbagai jenama dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM700,000,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa batang anak kunci, alat kawalan jauh pintu premis, dua telefon bimbit dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima yang dipercayai digunakan untuk tujuan penghantaran.

“Suspek direman selama 14 hari bermula 19 Oktober bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 116C Akta Kastam 1967,” ujarnya.

Bakri berkata, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik sebenar rokok seludup berkenaan dan menjejak rakan sindiket lain yang terlibat.

"Polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan larangan atau tidak bercukai kerana ia menjejaskan hasil negara,” tegas beliau.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kegiatan penyeludupan diminta menyalurkan maklumat tersebut ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Hotline IPD Hilir Perak di talian 05-6212222.

Ringkasan AI

  • Polis berjaya menumpaskan kegiatan penyimpanan dan pengedaran rokok seludup bernilai RM700,000 di Hilir Perak
  • Seorang lelaki tempatan lingkungan 30-an sebagai penghantar bagi sindiket tersebut ditahan
  • Tiga serbuan berasingan di Teluk Intan membongkar lebih 65,000 bungkus rokok disyaki tidak bercukai
  • Barang rampasan termasuk 130 kotak rokok, kunci, alat kawalan jauh, dua telefon bimbit, dan sebuah MPV Toyota Estima
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 serta Seksyen 116C Akta Kastam

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!