Pesanan guru jadi azimat buat Umar Dzakir

Umar Dzakir menerima Anugerah Khas pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS)
Umar Dzakir menerima Anugerah Khas pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS)
A
A
A

KUANTAN - Biarpun dilahirkan dengan kekangan fizikal akibat masalah saraf, siapa sangka anak kepada seorang tukang gunting rambut membuktikan kekurangan diri bukan penghalang capai kejayaan.

Kecemerlangan Umar Dzakir Ab Razak, 21, terserlah apabila diumum sebagai penerima Anugerah Khas sempena Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) di sini pada Isnin.

Graduan Diploma Pengajian Islam Pengkhususan Dakwah dan Pengurusan yang memperolehi Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.83 itu berkata, anugerah diterima menjadi pemangkin semangat untuk lebih cemerlang apabila membuat keputusan untuk melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah.

Menurutnya, pencapaian itu juga hasil daripada amalan harian yang konsisten termasuk mendekatkan diri dengan ALLAH SWT melalui solat berjemaah serta ibadah rutin lain.

Biarpun dilahirkan dengan kekangan fizikal akibat masalah saraf, Umar Dzakir membuktikan kekurangan diri bukan penghalang capai kejayaan.
Biarpun dilahirkan dengan kekangan fizikal akibat masalah saraf, Umar Dzakir membuktikan kekurangan diri bukan penghalang capai kejayaan.

"Ilmu adalah satu perjalanan yang kita ambil untuk manfaat dalam kehidupan sama ada dalam bidang agama, sains atau akademik.

"Akan tetapi bila mana dinamakan ilmu, maka ilmu adalah sesuatu yang membawa kita kepada keredaan ALLAH," katanya ketika ditemui pemberita selepas istiadat tersebut.

Istiadat konvensyen itu disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Nazri Abu Bakar.

Artikel Berkaitan:

Anak sulung daripada lima beradik itu memberitahu perjalanan akademiknya tidak mudah kerana melalui pelbagai cabaran dan kesukaran sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal.

Jelasnya, cabaran terbesar adalah merasakan dirinya berbeza daripada orang lain.

"Kadang-kadang saya berasa kurang yakin dan tidak semangat tapi saya selalu teringat pesanan guru yang menekankan bahawa seseorang dikira gagal bukan apabila tidak berjaya mencapai sesuatu, tetapi apabila berhenti berusaha.

"Selagi kita terus berjalan dan melakukan segala usaha untuk mendapatkan keredaan ALLAH, kita dikira berjaya dan kita berada di jalan-Nya,” kata Umar Dzakir lagi.

Ringkasan AI

  • Umar Dzakir Ab Razak menerima Anugerah Khas dalam Istiadat Konvokesyen Ke-22 Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah.
  • Graduan dengan PNGK 3.83 itu ingin melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Dakwah Islamiah.
  • Pencapaian akademik dan kehidupan rohani Umar dipengaruhi oleh amalan solat berjemaah dan ibadah rutin.
  • Umar menganggap ilmu sebagai perjalanan yang membawa kepada keredaan ALLAH.
  • Sebagai orang kurang upaya fizikal, Umar berdepan cabaran psikologi termasuk rasa kurang yakin dan berbeza dari orang lain.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!