Biar fizikal kecil, jiwa Ikhwan besar - Kisah anak kerdil lawan stigma

Ikhwan seorang yang ceria, tabah dan mempunyai keyakinan diri dalam menghadapi cabaran hidup.
Ikhwan seorang yang ceria, tabah dan mempunyai keyakinan diri dalam menghadapi cabaran hidup.
A
A
A

SHAH ALAM - Di sebalik tubuh kecil, kanak-kanak berusia 10 tahun yang mempunyai saiz fizikal kerdil atau dwarfisme menyimpan semangat luar biasa yang tidak pernah luntur walaupun diuji dengan pandangan serong dan ejekan rakan sebaya.

Ibu kepada kanak-kanak itu, Esah Mohamad, 43, berkata, anaknya Ikhwan Yunus seorang yang ceria, tabah dan mempunyai keyakinan diri dalam menghadapi cabaran hidup.

Menurutnya, di sekolah Ikhwan belajar dalam kelas biasa dan sentiasa tersenyum walaupun kadangkala ada rakan yang mengejek atau tidak memahami keadaannya.

"Ikhwan seorang anak yang cepat menyesuaikan diri, ejekan yang diterima pada awal persekolahan tidak pernah mematahkan semangatnya untuk terus menimba ilmu.

"Dia sangat ceria dan bijak, keletahnya buat kami sekeluarga tidak pernah rasa dia ada kekurangan, malah sangat bangga dengannya.

“Walaupun fizikal Ikhwan kecil, alhamdulillah saya tiada masalah untuk membesarkannya seperti anak-anak lain," katanya kepada Sinar harian.

Tambah Esah, sebagai ibu dia akan pastikan layanan yang diberikan kepada Ikhwan sama seperti anak-anak lain.

“Misalnya sentiasa bawa dia jalan- jalan, saya tidak sembunyikan Ikhwan. Saya ‘tayang’ dia di media sosial dan dunia sebenar supaya masyarakat tahu kewujudan anak-anak kerdil yang juga berhak hidup dengan penuh keyakinan.

“Anak-anak seperti Ikhwan bukan ‘cacat’ seperti yang disangka sesetengah pihak, mereka hanya berbeza dari segi fizikal dan itu bukan penghalang untuk berjaya.

Artikel Berkaitan:

"Saya mahu Ikhwan tahu, dia mampu capai apa sahaja yang diimpikan jika dia terus berusaha dan percaya pada diri," ujarnya.

Esah memberitahu, dia mula mengetahui anaknya menghidap dwarfisme ketika kandungan mencecah usia 34 minggu selepas menjalani imbasan ultrasound.

Jelasnya, saat menerima berita itu dia dihimpit rasa sedih, takut dan risau, namun sebagai ibu sedaya upaya mengumpul kekuatan untuk menerima hakikat dengan ikhlas.

“Oleh itu, saya harap masyarakat juga dapat menerima anak-anak kerdil seperti Ikhwan dengan hati terbuka. Henti mengejek, pandang lah mereka sebagai insan istimewa yang penuh potensi,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!