'Kami sekeluarga sempat berbuka puasa bersama, arwah tidak menunjukkan tanda-tanda sakit' - Isteri

Norzatulcima mencium suaminya buat kali terakhir di Masjid Jamek Gemencheh Lama, di sini.
Norzatulcima mencium suaminya buat kali terakhir di Masjid Jamek Gemencheh Lama, di sini.
A
A
A

GEMENCHEH – “Kami sekeluarga sempat berbuka bersama arwah dan beliau tidak menunjukkan tanda-tanda sakit.”

Demikian kenangan terakhir dikongsi isteri vokalis Carburetor Dung, Shahlan Abdullah, 57, yang meninggal dunia akibat serangan jantung di Gemencheh, Jumaat lalu.

Arwah yang merupakan penyanyi asal kumpulan muzik genre Punk Rock itu menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 10.30 malam di Klinik Kesihatan Gemencheh.

Vokalis Carburetor Dung, Shahlan Abdullah, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung di Gemencheh, Jumaat lalu.
Vokalis Carburetor Dung, Shahlan Abdullah, 57, meninggal dunia akibat serangan jantung di Gemencheh, Jumaat lalu.

Isterinya, Norzatulcima Jamaluddin, 53, berkata, suaminya pulang berbuka puasa di rumah ibunya di Gemencheh Lama bersama anak mereka sebelum mengadu sakit perut.

“Selepas berbuka arwah mahu ke masjid untuk menunaikan solat tarawih tapi berpatah balik kerana mengalami sakit perut.

“Ketika di rumah arwah jatuh pengsan dan segera dibawa menaiki ambulans ke klinik namun doktor mengesahkan arwah telah meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, jenazah dibawa ke Hospital Tampin untuk bedah siasat dan laporan menunjukkan arwah mengalami serangan jantung.

Artikel Berkaitan:

Shahlan bersama ahli kumpulan Carburetor Dung.
Shahlan bersama ahli kumpulan Carburetor Dung.

“Kami sekeluarga reda dengan pemergian arwah kerana arwah pergi di hari yang baik dan bulan yang baik. Alhamdulillah arwah pergi pun dalam keadaan tenang,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Jenazah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Kampung Gemencheh Lama selepas solat Zuhur, semalam.

Arwah yang berasal dari Kuala Terengganu merupakan vokalis kumpulan yang berpengaruh besar dalam membawa muzik underground di tanah air pada 1990-an.

Album pertamanya, Songs For Friends, mendapat sambutan hebat peminat pada tahun 1993 menerusi lagu Boo Hoo Clapping Song. Malah filem Dari Jemapoh ke Manchestee pada tahun 1998 turut menggunakan lagu Carburetor Dung.

Shahlan meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki, Muhammad Fudail Aisyraaf, 27.

Ringkasan AI

  • Vokalis Carburetor Dung, Shahlan Abdullah, meninggal dunia akibat serangan jantung di Gemencheh
  • Arwah menghembuskan nafas terakhirnya di Klinik Kesihatan Gemencheh
  • Shahlan Abdullah merupakan penyanyi asal kumpulan muzik genre Punk Rock yang berpengaruh pada 1990-an
  • Album pertama Carburetor Dung 'Songs For Friends' mendapat sambutan hebat pada tahun 1993
  • Shahlan Abdullah meninggalkan seorang isteri dan seorang anak lelaki

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!