'Ibunya masih trauma, tak sangka anak dibunuh bapa sendiri'

Keluarga terutama ibu kepada Tishant masih trauma dan mereka langsung tidak menyangka tragedi seburuk ini boleh berlaku dalam kalangan keluarga sendiri.
Keluarga terutama ibu kepada Tishant masih trauma dan mereka langsung tidak menyangka tragedi seburuk ini boleh berlaku dalam kalangan keluarga sendiri.
A
A
A

REMBAU – “Lebih menyayat hati, suspek bukan orang luar… tapi bapa kandungnya sendiri.”

Itu luahan penuh hiba datuk saudara kepada M Tishant, kanak-kanak lelaki berusia enam tahun yang ditemukan mati tertanam di kawasan belukar di Rompin, di sini, pada Isnin lalu.

Menurutnya, keluarga terutama ibu mangsa masih trauma dan hilang selera makan sejak Tishant dilaporkan hilang. Mereka langsung tidak menyangka tragedi seburuk ini boleh berlaku dalam kalangan keluarga sendiri.

“Biasa kita dengar kes sebegini di berita, kita rasa simpati. Tapi kali ini, ia berlaku kepada keluarga kami sendiri,” katanya ketika ditemui di pekarangan Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau.

Dalam perkembangan siasatan, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Ahmad Dzaffir Mohd Yussof memaklumkan bahawa motif kejadian masih belum dikenal pasti.

Namun siasatan awal mendapati suspek yang juga bapa kandung mangsa sedang berdepan masalah rumah tangga dan dipercayai dalam proses penceraian dengan isterinya.

“Setakat ini, suspek juga tidak memberi respons yang positif terhadap siasatan,” katanya pada Selasa.

Menurut beliau, proses bedah siasat ke atas mayat Tishant dimulakan pada jam 12 tengah hari dan selesai sekitar jam 4.26 petang di Unit Forensik Hospital Rembau.

Hasil bedah siasat mengesahkan punca kematian adalah akibat tekanan di leher disebabkan jerutan menggunakan pengikat kabel (cable tie).

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, mangsa dilaporkan hilang di Johor Bahru pada Khamis lalu sebelum mayatnya ditemui dalam keadaan tertanam di kawasan belukar di Rompin.

Susulan penemuan itu, bapa kepada kanak-kanak berkenaan yang berusia 36 tahun ditahan dan kini direman selama tujuh hari untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Difahamkan, suspek sebelum ini membuat laporan polis mendakwa anaknya hilang selepas ditinggalkan di dalam kereta ketika dia keluar membeli makanan.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!