Bangunan Pasti tempatkan 50 murid, guru terbakar

Keadaan bangunan Pasti Raudhatul Athfal yang terbakar kira-kira 70 peratus dalam kejadian pada pagi Ahad.
Keadaan bangunan Pasti Raudhatul Athfal yang terbakar kira-kira 70 peratus dalam kejadian pada pagi Ahad.
A
A
A

KEMAMAN - Seramai 50 murid dan guru di Pusat Asuhan Tunas Islam (Pasti) Raudhatul Athfal, Chukai di sini berdepan detik cemas apabila bangunan sekolah tersebut terbakar dalam kejadian pada Ahad.

Guru Pasti berkenaan, Nur Amyrah Salihah Mohd Yusoff berkata, ketika kejadian, 46 murid berusia empat hingga enam tahun sedang bersarapan selepas selesai sesi mengaji dan solat.

Bagaimanapun, katanya, kejadian yang berlaku di bangunan satu tingkat itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Semua murid berjaya dibawa keluar selepas bangunan sekolah mereka terbakar dalam kejadian pada Ahad. Foto tular/orang awam
Semua murid berjaya dibawa keluar selepas bangunan sekolah mereka terbakar dalam kejadian pada Ahad. Foto tular/orang awam

"Ketika kejadian dalam jam 10 pagi saya berada di bahagian dapur. Ada penduduk yang kebetulan lalu di kawasan ini memberitahu ruang atas bangunan yang menempatkan empat kelas ada asap tebal.

"Saya dan tiga lagi guru terus bergegas membawa murid-murid keluar dari bangunan, kemudian kami lihat api menjulang tinggi dan menyambar seluruh ruangan bahagian atas sebelum merebak ke bahagian lain," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian.

Nur Amyrah Salihah berkata, mereka bernasib baik kerana ketika kejadian tiada sesi pembelajaran diadakan di bahagian bangunan yang terbakar itu.

"Habis semua buku dan perabot hangus terbakar. Buat masa ini kami terpaksa bercuti buat sementara waktu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Anggota bomba dari Balai Bomba Kemaman dan Chukai bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran. Foto tular/orang awam
Anggota bomba dari Balai Bomba Kemaman dan Chukai bergegas ke lokasi kejadian untuk memadamkan kebakaran. Foto tular/orang awam

Sementara itu, Komander Operasi, Penolong Penguasa Bomba Saariah Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.09 pagi sebelum mengerahkan 18 anggota bomba dari Balai Bomba Kemaman dan Chukai ke lokasi kejadian.

Jelas beliau, kebakaran melibatkan bangunan setingkat separa kekal yang terbakar kira-kira 70 peratus.

"Ketika kami tiba semua penghuni dalam premis itu telah berjaya keluar dengan selamat dan api sedang marak.

"Pasukan bomba mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengawal api daripada merebak," katanya.

Beliau berkata, punca kejadian dan kerugian dialami masih dalam siasatan.

Ringkasan AI

  • Pusat Asuhan Tunas Islam Raudhatul Athfal, Chukai terbakar ketika 46 murid sedang bersarapan
  • Tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian ini
  • Guru dan murid selamat keluar sebelum api merebak ke seluruh bangunan
  • Kebakaran menyebabkan kerugian semua buku dan perabot
  • 18 anggota bomba dikerahkan dan api dapat dikawal dalam masa 15 minit

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!