Guru muzik ditahan disyaki cabul empat murid

KUALA TERENGGANU – Seorang guru muzik berusia 54 tahun ditahan polis selepas disyaki mencabul empat murid sekolah rendah dalam kejadian di sebuah sekolah di Kuala Nerus, Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, tangkapan terhadap lelaki itu dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada empat murid berusia antara tujuh hingga 10 tahun.
Menurutnya, kesemua mangsa mendakwa perbuatan tidak senonoh itu berlaku antara jam 12 hingga 12.30 tengah hari pada 13 November lalu.
"Berdasarkan maklumat diterima, semua mangsa memaklumkan mereka dicabul guru muzik tersebut.
"Susulan itu, suspek telah ditahan di rumahnya semalam (Isnin) dan direman selama lima hari," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.
Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Dalam perkembangan berkaitan, Azli berkata, polis turut menahan seorang peniaga berusia 23 tahun dalam satu kes berasingan membabitkan kes amang seksual melibatkan seorang mangsa perempuan berusia lapan tahun di daerah ini.
"Hasil laporan diterima, suspek yang merupakan bapa saudara kepada mangsa dipercayai meraba dada serta punggung kanak-kanak itu.
"Berikutan itu, suspek ditahan pada 15 November dan direman lima hari bagi membolehkan kes disiasat di bawah Seksyen 14(a) akta sama," katanya.
Beliau berkata kedua-dua siasatan kini di peringkat akhir sebelum dirujuk kepada pihak pendakwaan.
Pada masa sama, Azli turut menasihatkan ibu bapa supaya meningkatkan pemantauan terhadap pergerakan anak-anak dan memberikan pendidikan awal mengenai gangguan seksual bagi mengelakkan mereka menjadi mangsa.
Ringkasan AI
- Seorang guru muzik 54 tahun ditahan kerana mencabul empat murid sekolah rendah di Kuala Nerus
- Tangkapan dibuat selepas empat murid berumur tujuh hingga 10 tahun membuat laporan polis
- Kejadian cabul dilaporkan berlaku antara jam 12 hingga 12.30 tengah hari pada 13 November
- Kes disiasat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(b) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017
- Polis turut menahan seorang peniaga berusia 23 tahun dalam kes amang seksual berasingan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
