Wanita kongsi detik cemas, 'power bank' terbakar ketika sedang cas

SHAH ALAM - Seorang wanita berdepan detik cemas apabila sebuah power bank miliknya tiba-tiba terbakar ketika berada di pejabat.
Menerusi perkongsian video di TikTok milik @itsmefihaa atau ingin dikenali sebagai Nor Shafiha Fatiha, 28, kejadian itu berlaku ketika dia sedang mengecas power bank tersebut semasa waktu bekerja.
Nor Shafiha Fatiha berkata, dia tidak menyangka peranti itu mula mengeluarkan asap kira-kira 10 minit kemudian sebelum mula terbakar.
“Ketika power bank itu mula terbakar, saya terus alihkan laptop dan telefon yang berada berdekatan dengan peralatan itu.
“Bos saya pula turun ke tingkat bawah untuk minta bantuan dengan pekerja lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Ujar Nor Shafiha Fatiha yang bekerja dalam bidang pemasaran, dia cuba memadamkan kebakaran tersebut dengan menggunakan pemadam api yang terdapat di pejabat.
“Masa itu, saya cabut pin pada pemadam api berkenaan sebelum sembur pada power bank tersebut sehingga api sudah mula kurang.
“Rakan sekerja yang lain pula ambil kain untuk tutup peranti tersebut sebelum buang ke luar,” ujarnya.
Menurutnya, insiden yang pertama kali dialaminya itu benar-benar mengejutkan kerana sebelum ini dia hanya mendengar kejadian seumpamanya berlaku kepada orang lain sahaja.
“Apabila perkara ini terjadi pada diri sendiri, saya sedikit terkejut. Saya baru sahaja masuk kerja tidak sampai sebulan, nasib baik tidak berlaku perkara tidak diingini.
“Saya baru sahaja beli power bank itu secara dalam talian, baru guna hampir sembilan bulan. Jadi agak pelik kenapa ia boleh terbakar,” kata Nor Shafiha Fatiha.
Ringkasan AI
- Seorang wanita dihadapkan dengan situasi mencemaskan apabila power bank miliknya tiba-tiba terbakar di pejabat
- Kejadian berlaku ketika sedang mengecas power bank pada waktu bekerja
- Dia segera mengalihkan laptop dan telefon yang berada dekat dengan power bank yang terbakar
- Usaha memadamkan api dilakukan dengan menggunakan pemadam api dan dibantu rakan sekerja
- Ini merupakan pengalaman pertama wanita tersebut menghadapi situasi power bank terbakar, dengan power bank itu dibeli secara dalam talian dan digunakan selama hampir sembilan bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

