Soeharto akhirnya diangkat sebagai Pahlawan Nasional selepas dua dekad

Soeharto akhirnya diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional Indonesia - Foto: Kompas.com
Soeharto akhirnya diiktiraf sebagai Pahlawan Nasional Indonesia - Foto: Kompas.com
A
A
A

JAKARTA – Nama Presiden kedua Republik Indonesia, Allahyarham Soeharto akhirnya diangkat sebagai Pahlawan Nasional selepas lebih dua dekad meninggalkan tampuk pemerintahan.

Pengumuman rasmi itu akan dibuat oleh Presiden Prabowo Subianto pada majlis penganugerahan di Istana Kepresidenan, Jakarta Pusat, pada Isnin.

Perkara itu disahkan oleh Menteri Sekretaris Negara, Prasetyo Hadi, dalam kenyataan kepada wartawan di hadapan kediaman Presiden Prabowo di Jalan Kertanegara, Kebayoran Baru, Jakarta Selatan, malam tadi.

“Ya, betul... nama Soeharto termasuk dalam senarai penerima,” katanya ringkas kepada media.

Menurut Prasetyo, Presiden Prabowo telah memuktamadkan senarai 10 tokoh penerima gelaran bersama Menteri Kebudayaan, Fadli Zon, yang juga Pengerusi Dewan Gelar, Tanda Jasa dan Tanda Kehormatan (GTK).

“Presiden turut menerima pandangan daripada Ketua MPR dan Wakil Ketua DPR. Seperti biasa, beliau melibatkan ramai pihak bagi mendapatkan pelbagai pandangan sebelum membuat keputusan akhir,” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa Presiden turut menugaskan beberapa pegawai kanan untuk berkomunikasi dengan tokoh-tokoh masyarakat serta mendapatkan input daripada pelbagai lapisan agar keputusan yang diambil benar-benar menyeluruh dan mewakili kepentingan nasional.

Menurut Prasetyo, penganugerahan gelaran Pahlawan Nasional ini merupakan bentuk penghormatan negara terhadap jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang memberi sumbangan besar kepada pembangunan bangsa.

“Ini adalah cara kita menghargai jasa para pendahulu yang telah memberi sumbangan luar biasa kepada negara,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, sumber daripada Kementerian Sosial memaklumkan bahawa senarai calon penerima gelaran telah melalui proses penilaian panjang di peringkat daerah dan kementerian sebelum diserahkan kepada Presiden untuk pertimbangan dan kelulusan akhir.

Penganugerahan kepada Soeharto dijangka mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat, memandangkan legasi beliau masih menjadi topik perdebatan antara dianggap sebagai pemimpin pembangunan dan penggerak ekonomi, serta dikritik kerana isu hak asasi manusia dan korupsi yang membayangi era pemerintahannya selama 32 tahun.

Majlis rasmi penyampaian gelaran tersebut dijadual berlangsung pagi ini di Istana Negara, dengan kehadiran keluarga penerima, pegawai tertinggi negara dan wakil masyarakat. – CNBC Indonesia

Ringkasan AI

  • Nama Presiden kedua Republik Indonesia, Allahyarham Soeharto, diangkat sebagai Pahlawan Nasional
  • Pengumuman rasmi akan dibuat oleh Presiden Prabowo Subianto
  • Senarai penerima gelaran disahkan bersama dengan Menteri Kebudayaan Fadli Zon
  • Penganugerahan gelaran merupakan bentuk penghormatan negara kepada sumbangan pemimpin terdahulu
  • Penganugerahan kepada Soeharto mencetuskan pelbagai reaksi masyarakat kerana legasinya yang kontroversi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!