Letupan sekolah Jakarta: Remaja bawa tujuh bahan letupan, empat meletup

JAKARTA - Unit khas antikeganasan Indonesia, Densus 88 mendedahkan bahawa suspek dalam insiden letupan di Sekolah Menengah Atas Negeri (SMAN) 72 Jakarta Utara pada Jumaat lalu didapati membawa tujuh bahan letupan.
Jurucakap Densus 88, Pesuruhjaya Kanan Adjung, Mayndra Eka Wardhana memberitahu portal berita tempatan Kompas bahawa dua bom meletup di lokasi pertama iaitu di surau sekolah berkenaan.
"Dua lagi meletup di taman bacaan dan pusat kitar semula sekolah, manakala tiga tidak meletup,” katanya.
Unit itu juga telah mengenal pasti jenis bahan letupan yang digunakan, namun enggan mengulas lanjut kerana siasatan berada di bawah bidang kuasa Polis Jakarta atau unit pemusnah bom.
Insiden berlaku sekitar jam 12.15 tengah hari waktu tempatan ketika solat Jumaat di sekolah yang terletak di kawasan Kelapa Gading.
Saksi berkata, letupan pertama kedengaran ketika khutbah sedang berlangsung, disusuli satu lagi letupan dari arah berbeza.
Kejadian itu menyebabkan hampir 100 orang cedera termasuk mangsa yang mengalami lecur dan kecederaan akibat serpihan, serta menimbulkan panik dalam kalangan pelajar dan penduduk berhampiran.
Menurut Ketua Polis Negara, Jeneral Listyo Sigit Prabowo, suspek berusia 17 tahun yang juga pelajar sekolah berkenaan telah menjalani pembedahan di kepala dan kini berada di unit rawatan rapi di bawah pengawasan polis. - Bernama
Ringkasan AI
- Unit khas antikeganasan Indonesia, Densus 88, mendedahkan suspek bawa tujuh bahan letupan di SMAN 72 Jakarta Utara
- Dua bom meletup di surau sekolah dan dua lagi di taman bacaan serta pusat kitar semula, tiga lain tidak meletup
- Jenis bahan letupan telah dikenal pasti oleh Densus 88 tapi siasatan masih di bawah Polis Jakarta
- Letupan berlaku ketika solat Jumaat, menyebabkan hampir 100 orang cedera termasuk akibat serpihan
- Suspek berusia 17 tahun, pelajar di sekolah tersebut, kini di unit rawatan rapi selepas pembedahan di kepala
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
