Didakwa tiada etika, Jakarta nafi Jepun gantung pengambilan pekerja Indonesia

JAKARTA – Beberapa insiden buruk membabitkan warga Indonesia di Jepun yang tular baru-baru ini mencetuskan spekulasi bahawa negara Matahari Terbit itu mungkin menggantung pengambilan pekerja dari republik tersebut.
Bagaimanapun, pihak berkuasa Indonesia menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai panik tidak berasas yang didorong oleh salah maklumat di media sosial.
Kebimbangan itu tercetus susulan beberapa kejadian, termasuk kes rompakan di wilayah Ibaraki, video yang memaparkan sekumpulan rakyat Indonesia berkelakuan tidak senonoh di Osaka, serta hantaran media sosial yang mendakwa majikan Jepun semakin ragu-ragu untuk menggaji pekerja dari Indonesia.
Salah satu video yang mencetuskan kemarahan ramai menunjukkan sekumpulan rakyat Indonesia berkumpul di tepi jalan di Osaka sehingga menghalang laluan orang awam, mengundang kritikan hebat dalam kalangan netizen Jepun.
Menurut pegawai kerajaan di Jakarta, reaksi negatif yang meluas itu sebahagian besarnya berpunca daripada penyebaran maklumat palsu dan tidak tepat, yang akhirnya memberi kesan terhadap persepsi terhadap pekerja migran Indonesia.
“Kami bimbang bahawa sentimen ini jika tidak ditangani dengan betul, boleh menjejaskan peluang rakyat kita untuk mencari kerja di luar negara, khususnya di Jepun,” kata seorang pegawai kanan yang enggan dinamakan.
Kementerian Hal Ehwal Luar Indonesia serta agensi berkaitan kini sedang menyiasat insiden-insiden terbabit, dan dalam masa yang sama memberikan penjelasan kepada kerajaan Jepun agar isu itu tidak menjejaskan hubungan dua hala dalam sektor buruh.
Timbul juga perbincangan hangat dalam kalangan masyarakat Indonesia mengenai kemampuan pekerja mereka untuk menyesuaikan diri dengan budaya dan etika kerja Jepun, yang terkenal dengan disiplin dan ketertiban yang tinggi.
Sesetengah penganalisis menyifatkan insiden-insiden ini sebagai petanda perlunya latihan nilai dan etika kepada bakal pekerja migran sebelum dihantar ke negara maju seperti Jepun.
Namun begitu, pihak berkuasa menegaskan bahawa kejadian-kejadian ini hanyalah kes terpencil dan tidak mewakili tingkah laku majoriti rakyat Indonesia di luar negara, yang disifatkan berdisiplin dan rajin bekerja.
“Rakyat Indonesia secara umumnya mempunyai reputasi yang baik di Jepun, dan kami akan memastikan imej itu terus dipelihara,” tambah pegawai itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

