Kecurian kabel punca gangguan MRT Laluan Putrajaya - Prasarana

Amir (tengah) bercakap kepada media pada Majlis Penjenamaan Semula Pas Perjalanan Rapid dan Pengenalan #RAKANRAPID di LRT Taman Perindustrian Puhong, pada Sabtu. Foto Bernama
Amir (tengah) bercakap kepada media pada Majlis Penjenamaan Semula Pas Perjalanan Rapid dan Pengenalan #RAKANRAPID di LRT Taman Perindustrian Puhong, pada Sabtu. Foto Bernama
A
A
A

SUBANG JAYA - Gangguan operasi transit aliran massa (MRT) Laluan Putrajaya yang menyebabkan perkhidmatan tren dijalankan secara manual sejak pagi Sabtu disyaki berpunca daripada kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana), Amir Hamdan berkata, pasukan teknikal bersama pakar sistem asal (OEM) kini sedang melaksanakan kerja pembaikan dan pemulihan menyeluruh bagi memastikan operasi kembali stabil secepat mungkin.

"Buat masa ini, sistem masih beroperasi secara tidak konsisten dan belum dapat diperbetulkan sepenuhnya. Operasi dijalankan dalam mod manual dengan 18 tren beroperasi, manakala 40 bas perantara percuma disediakan bagi menghubungkan stesen di sepanjang Laluan Putrajaya.

"Kami akan terus memaklumkan perkembangan semasa kerja pemulihan kepada orang ramai supaya mereka dapat merancang perjalanan dengan lebih baik dalam tempoh dua hari ini,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran penjenamaan semula pas perjalanan Rapid di stesen transit aliran ringan (LRT) Taman Perindustrian Puchong, pada Sabtu.

Beliau berkata, insiden kecurian kabel yang menjejaskan operasi MRT itu dikesan di kawasan Taman Desa dan kini sedang disiasat dengan kerjasama pihak polis.

Amir berkata, dalam tempoh setahun ini sahaja, hampir 50 kes kecurian kabel telah direkodkan, menunjukkan peningkatan kira-kira 100 peratus berbanding tahun lepas.

"Ia satu perkembangan membimbangkan kerana melibatkan risiko keselamatan serta kestabilan operasi. Kes kecurian kabel bukan sahaja menjejaskan sistem rel, malah turut memberi kesan kepada perkhidmatan operator lain yang menghadapi insiden sama.

"Perkara ini juga telah dibawa kepada perhatian kerajaan bagi mempertimbangkan langkah memperketat undang-undang berkaitan kecurian aset infrastruktur awam,” katanya.

Sementara itu, menjelang Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 esok, beliau menasihati pengguna pengangkutan awam supaya merancang perjalanan lebih awal dan menggunakan laluan alternatif seperti yang dimaklumkan menerusi kenyataan Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail). - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Gangguan operasi MRT Laluan Putrajaya berpunca daripada kecurian kabel komunikasi dan sistem semboyan
  • Kerja pembaikan oleh pasukan teknikal dan pakar sistem asal sedang dilakukan untuk stabilkan operasi
  • Operasi MRT kini berjalan dalam mod manual dengan 18 tren beroperasi dan disediakan 40 bas perantara percuma
  • Kes kecurian kabel yang menjejaskan operasi MRT dikesan di kawasan Taman Desa dan sedang disiasat
  • Hampir 50 kes kecurian kabel direkodkan dalam setahun, meningkat kira-kira 100 peratus dari tahun lepas

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!