MAHB perjelas punca gangguan elektrik di KLIA2

SHAH ALAM - Gangguan elektrik sementara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada Khamis berpunca daripada insiden pelepasan arus atau flashover melibatkan penyambungan kabel.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata, pasukan teknikal bertindak pantas dengan mengalihkan bekalan kuasa daripada pencawang alternatif sebelum berjaya memulihkan sepenuhnya keadaan dalam tempoh 28 minit.
"Kami ingin memberi jaminan bahawa operasi lapangan terbang tidak terjejas sepanjang insiden berkenaan. Sistem kuasa penting termasuk penjana sokongan telah diaktifkan serta-merta, sekali gus memastikan semua sistem kritikal seperti pengendalian bagasi, kaunter daftar masuk dan paparan maklumat penerbangan berfungsi tanpa gangguan.
"Sepanjang tempoh tersebut, semua perkhidmatan penting kekal beroperasi. MAHB juga kekal komited untuk memastikan standard keselamatan, kebolehpercayaan dan kesinambungan perkhidmatan yang tertinggi," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan gangguan elektrik di lapangan terbang utama negara yang berlaku kira-kira jam 2 petang itu sebagai tidak boleh diterima kerana menjejaskan imej negara.
Menurutnya, dalam sektor pengangkutan awam, sebarang gangguan teknikal melebihi 15 minit dikategorikan sebagai gangguan besar, apatah lagi jika berlaku di pintu masuk utama negara.
Sementara itu, MAHB dalam kenyataan sama turut memaklumkan pihaknya sedang menyiapkan laporan penuh berhubung insiden berkenaan untuk diserahkan kepada Anthony.
"Kami juga sedang menjalankan penilaian menyeluruh terhadap insiden ini bagi mengelakkan kejadian sama berulang," jelas kenyataan itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

