Lencongan di Jalan Meru berpunca daripada kewujudan tokong, kuil - JKR Klang

KLANG - Jabatan Kerja Raya (JKR) Klang menjelaskan isu lencongan di Jalan Meru (FT3217) berpunca daripada kewujudan tokong dan kuil yang terletak dalam kawasan laluan (Right of Way, ROW) projek Transit Aliran Ringan 3 (LRT3).
Menurut kenyataan JKR Klang menerusi hantaran di laman Facebooknya pada Khamis, laluan berkenaan adalah jalan persekutuan yang telah diserahkan penyenggaraannya kepada pihak LRT3 pada tahun 2018 bagi memberi laluan kerja pembinaan dan naik taraf jalan.
“Pada peringkat perancangan, terdapat reka bentuk baharu jalan yang memerlukan perobohan struktur tokong (hadapan) dan kuil (belakang) tersebut.
"Bagaimanapun, pihak LRT3 melalui Prasarana Malaysia Berhad hanya dapat mengambil sebahagian struktur kuil sahaja,” jelas kenyataan itu.
Isu berkenaan juga telah mendapat perhatian apabila pihak Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) dan JKR Klang turun padang pada 13 Mei 2025 bagi meneliti kesannya yang melibatkan keselamatan pengguna jalan raya.
Dalam pada itu, JKR Klang menegaskan penerimaan semula jalan tersebut hanya boleh dilakukan selepas audit kriteria penerimaan dilaksanakan oleh Cawangan Senggara Fasiliti Jalan (CSFJ), Ibu Pejabat JKR Malaysia.
“Sehingga kini, jalan ini masih belum diserahkan kepada pihak JKR daripada pihak LRT3 untuk penyenggaraan,” tambahnya.
Isu lencongan jalan di Jalan Meru (FT3217), Klang sebelum ini mendapat perhatian pengguna jalan raya yang mendakwa laluan itu tidak lurus selepas kerja naik taraf dijalankan.
Keadaan tersebut dikaitkan dengan kewujudan sebuah tokong dan kuil yang masih kekal di kawasan laluan projek LRT3 sehingga menyebabkan reka bentuk jalan terpaksa diubah.
Ringkasan AI
- JKR Klang menjelaskan isu lencongan di Jalan Meru berpunca dari tokong dan kuil dalam kawasan projek LRT3
- Laluan Jalan Meru diserahkan penyenggaraannya kepada LRT3 pada tahun 2018 untuk pembinaan dan naik taraf
- Reka bentuk baru jalan memerlukan perobohan struktur tokong dan kuil namun hanya sebahagian kuil dapat diambil
- Isu ini telah mendapat perhatian MIROS, MBDK dan JKR Klang untuk meneliti kesan terhadap keselamatan pengguna
- JKR Klang menegaskan jalan tersebut belum diserahkan semula daripada LRT3 untuk penyenggaraan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

