Kecurian kabel jejaskan jadual penyiapan projek ECRL

Trend kecurian yang semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada kemajuan projek ECRL. Foto CCCECRL
Trend kecurian yang semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada kemajuan projek ECRL. Foto CCCECRL
A
A
A

KUANTAN - China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCCECRL) mengecam insiden kecurian kabel penghubung yang berlaku baru-baru ini di jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dari Temerloh ke Bentong.

CCCECRL dalam satu kenyataan memaklumkan, kejadian itu telah menyebabkan kerosakan serius terhadap infrastruktur rel dan berpotensi menjejaskan jadual penyiapan projek nasional tersebut.

Menurut kenyataan itu, sejak bulan Jun lalu beberapa siri kecurian komponen rel bernilai tinggi termasuk kabel dan transformer dikesan di sepanjang jajaran ECRL.

“Insiden terbaharu menunjukkan trend kecurian yang semakin membimbangkan dan memberi kesan langsung kepada kemajuan projek.

“Dalam tempoh hanya dua minggu, kabel penghubung sepanjang 1,080 meter (m) antara Temerloh dan Lanchang serta 599m antara Lanchang dan Bentong telah dicuri,” kata kenyataan itu pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, kecurian berkenaan bukan sahaja meningkatkan kos pembaikan dan penggantian, tetapi yang lebih membimbangkan boleh menyebabkan kelewatan terhadap perkembangan keseluruhan projek ECRL.

Jelas kenyataan itu, komponen gantian yang ditempah khas memerlukan masa berbulan-bulan untuk diperoleh.

“Kelewatan ini turut menjejaskan peranan penting projek ECRL dalam membawa manfaat sosial dan ekonomi jangka panjang kepada Wilayah Pantai Timur dan negara secara keseluruhan,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, CCCECRL memaklumkan telah membuat laporan polis di Balai Polis Lanchang dan sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Menurut kenyataan itu, memandangkan jajaran projek merentasi 665 kilometer, usaha melindungi projek nasional ini turut memerlukan sokongan komuniti setempat.

“Justeru, orang awam dinasihatkan untuk tidak membeli mana-mana kabel elektrik atau komponen yang dipercayai milik projek ECRL.

“Laporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan kepada pihak polis atau pejabat seksyen CCCECRL dengan kadar segera,” kata kenyataan itu.

Ringkasan AI

  • China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd mengecam kecurian kabel di ECRL dari Temerloh ke Bentong
  • Kerosakan akibat kecurian mengancam jadual penyiapan projek ECRL
  • Dalam tempoh dua minggu, lebih 1km kabel penghubung dicuri
  • Kecurian meningkatkan kos dan berpotensi menyebabkan kelewatan projek
  • CCCECRL bekerjasama dengan polis dan meminta sokongan komuniti untuk melindungi projek ECRL

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!