Ternakan lepas, nyawa melayang

Sikap lepas tangan pemilik ternakan yang membiarkan haiwan mereka bebas berkeliaran mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
Sikap lepas tangan pemilik ternakan yang membiarkan haiwan mereka bebas berkeliaran mendatangkan risiko kepada pengguna jalan raya.
A
A
A

KEMALANGAN jalan raya yang meragut nyawa seorang bayi perempuan berusia 11 bulan di Jalan Kerayong–Simpang Kepayang, Bera, Pahang, akibat terlanggar haiwan ternakan bukanlah kejadian terpencil yang boleh dipandang enteng.

Tragedi itu bukan sahaja meragut nyawa seorang bayi tidak berdosa tetapi memperlihatkan kelemahan dalam kawalan ternakan dan mungkin juga penguatkuasaan terutama di kawasan luar bandar.

Kehilangan anak kecil dalam kejadian sebegini pastinya meninggalkan trauma mendalam buat pasangan muda itu yang hanya keluar membeli susu namun berakhir dengan tragedi.

Kejadian itu menunjukkan bagaimana kecuaian pihak tertentu boleh menghancurkan kehidupan keluarga lain dalam sekelip mata.

Penyelesaian tuntas perlu dilakukan berikutan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan seramai 109 pengguna jalan raya maut di seluruh negara disebabkan haiwan peliharaan atau ternakan sepanjang tahun 2024.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 14,560 kes kemalangan membabitkan haiwan liar, haiwan peliharaan dan ternakan dicatatkan di seluruh negara sekali gus menyebabkan 13,877 kes melibatkan kerosakan kenderaan, 30 kes cedera parah dan 544 kes cedera ringan.

Punca utama ialah sikap lepas tangan pemilik ternakan yang membiarkan ternakan mereka bebas berkeliaran meragut rumput berhampiran jalan raya tanpa pengawasan.

Dalam kebanyakan kes, haiwan tidak ditanda atau didaftarkan telah menyukarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengenal pasti pemilik ternakan selepas kemalangan berlaku.

Tanggungjawab dan penguatkuasaan

Artikel Berkaitan:

Undang-undang sebenarnya sudah wujud di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan peraturan PBT, pemilik ternakan boleh dikenakan tindakan jika membiarkan haiwan mereka berkeliaran di kawasan awam sehingga mendatangkan bahaya.

Bagaimanapun pelaksanaan masih lemah. Pihak PBT, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan polis perlu mempertingkatkan kerjasama dalam mengenal pasti kawasan panas kemalangan melibatkan haiwan.

Pemasangan papan tanda amaran, lampu jalan tambahan serta kempen kesedaran perlu diselaraskan dengan tindakan undang-undang yang lebih tegas.

Kesedaran dan sikap tanggungjawab pemilik ternakan adalah pencegahan terbaik. Sekiranya mempunyai kandang yang diselenggara baik, tiada lagi nyawa insan tidak berdosa melayang.

Selain itu, kerajaan perlu bertegas terhadap kaedah penandaan haiwan ternakan ruminan bagi memudahkan proses pengesanan pemilik serta pendakwaan di mahkamah sekiranya berlaku kemalangan membabitkan haiwan berkenaan yang berkeliaran.

Dalam menangani isu keselamatan jalan raya melibatkan haiwan perlu ada perubahan drastik, nyawa manusia jauh lebih berharga daripada seekor lembu.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!