Gastrik ujian kesihatan menjelang Ramadan

Gastrik kronik merupakan masalah kesihatan sebenar yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan keupayaan seseorang untuk beribadah dengan baik. - Gambar hiasan
Gastrik kronik merupakan masalah kesihatan sebenar yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan keupayaan seseorang untuk beribadah dengan baik. - Gambar hiasan
A
A
A

BEBERAPA hari lagi Ramadan bakal menyapa, umat Islam bukan sahaja bersiap dari segi rohani dan emosi, malah turut berhadapan dengan cabaran kesihatan yang sering berulang saban tahun antaranya gastrik.

Bagi sesetengah individu, ibadah puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi menahan rasa pedih ulu hati, kembung perut dan ketidakselesaan yang boleh mengganggu rutin harian.

Jadi tidak hairanlah gastrik sering dikaitkan dengan bulan puasa walaupun hakikatnya ia bukan penyakit bermusim.

Gastrik sebenarnya berlaku sepanjang tahun, namun simptomnya lebih ketara ketika Ramadan apabila berlaku perubahan mendadak dalam corak pemakanan. Perut yang biasa diisi beberapa kali sehari perlu menyesuaikan diri dengan tempoh berpuasa yang panjang, mencecah lebih 13 jam.

Bahkan masalah gastrik bukan isu terpencil, data kesihatan turut menunjukkan kira-kira empat daripada 10 rakyat Malaysia pernah mengalami simptom gastrik sama ada pada tahap ringan atau kronik.

Setiap hari, hampir 1,000 pesakit mendapatkan rawatan berkaitan gastrik di klinik dan hospital awam, manakala lebih 1,000 kes sebulan melibatkan rawatan kecemasan akibat komplikasi penyakit tersebut.

Walaupun tiada statistik khusus yang memfokuskan bulan Ramadan, pengamal perubatan mengakui terdapat peningkatan aduan berkaitan gastrik sepanjang tempoh puasa. Malah isu ini menjadi sinonim setiap kali tibanya bulan puasa. Sama ada betul atau sekadar alasan Wallahualam.

Walaupun gastrik sering dijadikan alasan untuk tidak berpuasa, pakar menegaskan bahawa tidak semua pesakit gastrik perlu berhenti berpuasa. Ramai sebenarnya masih mampu menunaikan ibadah puasa dengan baik sekiranya simptom terkawal dan pengurusan dilakukan dengan betul. Antara langkah yang disarankan termasuk tidak meninggalkan sahur, mengelakkan makanan yang boleh mencetuskan simptom serta mengambil ubat mengikut nasihat doktor.

Namun, bagi individu yang mengalami kesakitan melampau, muntah berpanjangan atau komplikasi serius, puasa boleh memburukkan keadaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam situasi ini, Islam sendiri memberikan kelonggaran kepada orang sakit untuk tidak berpuasa dan menggantikannya pada waktu lain. Keputusan tersebut seharusnya dibuat berdasarkan penilaian kesihatan, bukan tekanan sosial atau persepsi masyarakat.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengingatkan orang ramai supaya mengamalkan pemakanan yang seimbang sepanjang Ramadan. Menurut panduan kesihatan rasmi KKM, pemilihan makanan yang sihat ketika sahur dan berbuka puasa penting bagi mengurangkan tekanan kepada sistem pencernaan, khususnya bagi individu yang mempunyai perut sensitif terhadap asid.

Isu tidak berpuasa kerana gastrik masih sering disalah tafsir. Ada yang menganggapnya sekadar alasan, sedangkan gastrik kronik merupakan masalah kesihatan sebenar yang boleh menjejaskan kualiti hidup dan keupayaan seseorang untuk beribadah dengan baik.

Pakar menasihatkan agar Ramadan dijadikan peluang untuk mendisiplinkan diri, termasuk dalam aspek pemakanan dan penjagaan kesihatan.

Ramadan seharusnya menjadi bulan untuk meningkatkan kesejahteraan fizikal dan rohani. Dalam menunaikan ibadah puasa, menjaga kesihatan juga merupakan satu amanah yang tidak wajar diabaikan.

Ketika kita berlatih menahan lapar dan dahaga, mungkin perut yang ‘bersuara’ itu sekadar mengingatkan ibadah juga perlu seiring dengan keprihatinan terhadap diri sendiri.

*Zubir Sulaiman ialah Sub Editor Sinar Harian

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!