Pelari maraton tertua Britain maut dalam kemalangan jalan raya pada usia 114 tahun

LONDON - Pelari maraton veteran Britain, Fauja Singh maut dalam kemalangan jalan raya di Punjab, India pada usia 114 tahun, lapor PA Media dan dpa.
Menurut laporan media tempatan di India, beliau dirempuh kereta ketika cuba melintas jalan di kampung kelahirannya, Beas Pind berhampiran Jalandhar pada Isnin dan mengalami kecederaan parah yang meragut nyawanya.
Kelab lariannya yang berpangkalan di London, "Sikhs In The City" mengesahkan pemergian beliau dan memaklumkan bahawa acara mereka yang akan datang di Ilford, timur London adalah bagi memperingati pencapaian dan legasi mendiang.
Fauja Singh yang menetap di Ilford sejak 1992 mencipta nama dengan memecahkan beberapa rekod masa larian maraton dalam pelbagai kategori umur dan menjadi inspirasi kepada ramai atlet kerana terus aktif walaupun selepas melepasi usia 100 tahun.
Menurut profil di laman rasmi Olimpik, beliau dilahirkan pada 1 April 1911 di Punjab dan merupakan anak bongsu daripada empat beradik dalam sebuah keluarga petani.
Selepas kematian isterinya, Gian Kaur di Jalandhar, beliau berhijrah ke England dan menetap di timur London bersama anak lelakinya.
Fauja hanya mula menyertai dunia larian secara serius pada 2000 ketika berusia 89 tahun.
Maraton pertamanya disertai di London, dengan catatan masa enam jam 54 minit - sekali gus memecahkan rekod dunia terdahulu bagi kategori usia 90 tahun ke atas dengan kelebihan 58 minit.
Beliau kemudiannya menyertai pelbagai lagi acara maraton, termasuk Maraton Toronto Waterfront 2003 yang disempurnakannya dalam masa lima jam 40 minit rekod peribadi terbaiknya.
Pada 16 Oktober 2011 di Toronto, Fauja Singh dipercayai menjadi manusia pertama berusia lebih 100 tahun yang berjaya menamatkan larian maraton.
Beliau turut membawa obor Olimpik sempena Sukan Olimpik London 2012, sebelum bersara daripada dunia larian pada usia 101 tahun. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
