Ambil alih tugas dan kerja syaitan di bulan Ramadan

Menjelang Ramadan, isu pembaziran makanan kembali menjadi perhatian apabila sisa makanan meningkat sehingga 20 peratus. - Gambar hiasan
Menjelang Ramadan, isu pembaziran makanan kembali menjadi perhatian apabila sisa makanan meningkat sehingga 20 peratus. - Gambar hiasan
A
A
A

UMAT Islam di seluruh dunia akan menyambut bulan penuh barakah iaitu Ramadan beberapa hari lagi. Malah sejak dua minggu lalu, iklan bufet berbuka puasa terutama dari restoran dan hotel-hotel mewah sudah mula dipaparkan.

Di sebalik keterujaan umat Islam menyambut kedatangan bulan mulia, ironinya ia dikaitkan dengan peningkatan ketara pembaziran makanan.

Pada 2023, dapatan kajian daripada Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) mendedahkan sekitar 90,000 tan makanan dibuang ke dalam tong sampah di seluruh negara.

Jumlah itu meningkat antara 15 peratus hingga 20 peratus berbanding bulan selain Ramadan.

Peningkatan ini secara tidak langsung mencerminkan kecenderungan masyarakat untuk berbelanja lebih dan menyediakan makanan secara berlebihan ketika bersahur dan berbuka.

Selain itu, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) turut mencatatkan sisa pepejal meningkat setiap kali Ramadan, dengan 44.5 peratus merupakan sisa makanan.

Kalau dilihat dari sudut lebih luas, isu ini bukan sekadar tentang jisim makanan yang dibazirkan, tetapi menghadirkan pelbagai impak negatif antaranya dari perspektif sosial.

Sepatutnya, makanan yang dibuang boleh dimanfaatkan untuk membantu golongan yang memerlukan.

Dari segi alam sekitar pula, sisa makanan di tapak pelupusan menghasilkan gas metana, penyumbang utama kepada perubahan iklim.

Artikel Berkaitan:

Meskipun terdapat data mencatatkan pembaziran, terdapat juga inisiatif positif yang dijalankan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Sebagai contoh, MYSaveFood berjaya menyelamatkan lebih 46,208 kilogram makanan tidak terjual dari 108 bazar Ramadan di seluruh negara tahun lalu, dengan mengagihkannya kepada golongan asnaf serta memerlukan.

Walau bagaimanapun sebagai sebuah negara pesat membangun, Malaysia masih berhadapan satu paradoks membimbangkan iaitu masyarakat membazirkan purata 17,000 tan sisa makanan setiap hari.

Perkara ini pernah dibangkitkan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye yang menggesa kerajaan menubuhan Akta Pengurangan Sisa Makanan.

Hakikatnya, beberapa negara luar telah melaksanakan polisi efektif dalam menangani isu itu antaranya Korea Selatan dan Singapura yang ada undang-undang mengikat restoran serta rumah untuk meminimumkan sisa makanan, termasuk denda bagi pembaziran berlebihan.

Perancis juga meluluskan undang-undang anti pembaziran makanan yang melarang pasar raya besar membuang makanan masih boleh dimakan dan mewajibkan ia disumbangkan kepada badan amal.

Justeru, Malaysia tidak boleh terus bersikap pasif, malah mungkin boleh menjadikan inisiatif kerajaan negara luar sebagai modul yang boleh 'ditiru'.

Tindakan tegas amat diperlukan termasuk penguatkuasaan polisi sisa makanan, insentif kepada industri dan komuniti untuk mengurangkan pembaziran serta sokongan terhadap program penyaluran semula makanan.

Pada akhirnya, menangani isu sisa makanan bukan menjadi tanggungjawab kerajaan semata-mata, tetapi sokongan daripada semua pihak termasuk masyarakat awam amat diperlukan untuk bersama-sama merealisasikan sifar pembaziran makanan.

Dalam Surah al-Isra' ayat 27 menyatakan, "Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya".

Dalam bulan Ramadan yang mulia ini iblis dan syaitan telah diikat jadi janganlah kita pula yang ambil alih tugas mereka.

*Diana Azis ialah wartawan Sinar Harian

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!