Dari penyokong ke penentang utama, apa seterusnya untuk Bersatu?

KRISIS dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dilihat semakin memuncak apabila bekas Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin secara terbuka mengisytiharkan dirinya kini sebagai ‘penentang nombor satu’ kepada Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perkara itu dinyatakan sewaktu Hamzah berucap pada Taklimat Halatuju dan Reset Politik di Rumah Kelab Persatuan Alumni Universiti Malaya (PAUM) pada Sabtu.
Beliau turut mendakwa tindakan pemecatan ke atas dirinya daripada parti disebabkan oleh perkara yang dirinya tidak ketahui.
Sebelum ini, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan terhadap 17 ahli parti termasuk Hamzah pada Jumaat.
Ahli Parlimen Larut itu dipecat hak keahlian dalam parti di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu kerana tindakan Ahli Parlimen Larut tersebut melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
Kenyataan Hamzah dalam taklimat berkenaan bukan sekadar luahan emosi susulan pemecatan, sebaliknya dilihat membawa mesej politik yang lebih besar iaitu isyarat bahawa persengketaan di peringkat tertinggi parti sudah sampai ke tahap sukar didamaikan.
Hamzah sebelum ini dikenali sebagai antara figura kanan yang setia bersama Muhyiddin sejak awal penubuhan parti.
Malah, pengakuan bahawa beliau pernah mengisytiharkan diri sebagai penyokong nombor satu Presiden dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) menunjukkan hubungan politik yang sebelum ini cukup rapat.
Namun, perubahan pendirian secara terbuka itu mencerminkan wujudnya krisis kepercayaan yang serius dalam kepimpinan tertinggi.
Apabila seorang bekas pimpinan tinggi Bersatu mempersoalkan sebab pemecatannya dan mendakwa tidak mengetahui kesalahan yang dilakukan, ia secara tidak langsung memberi gambaran wujud masalah komunikasi, ketelusan dan pengurusan dalaman parti.
Bagaimanapun, dalam suasana politik negara yang sangat dinamik, kestabilan dalaman parti menjadi aset utama yang penting.
Tidak mustahil terdapat kemungkinan bahawa wujud rundingan politik baharu yang sedang berlaku di belakang tabir.
Apa yang pasti, krisis ini menandakan Bersatu sedang melalui fasa getir yang boleh menentukan hala tuju masa depannya iaitu sama ada kekal relevan sebagai kuasa politik utama atau berdepan dengan penyusutan pengaruh.
Dalam keadaan landskap politik negara pada hari ini, apa-apa pun boleh berlaku. Hari ini berkawan baik, esok jadi musuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

