Bayi 11 bulan maut, kereta langgar sekumpulan lembu

Seorang bayi perempuan maut selepas kereta yang dipandu bapanya terbabas akibat melanggar sekumpulan lembu. Foto ihsan PDRM
Seorang bayi perempuan maut selepas kereta yang dipandu bapanya terbabas akibat melanggar sekumpulan lembu. Foto ihsan PDRM
A
A
A

BERA - Hasrat pasangan suami isteri keluar membeli susu bertukar tragedi apabila bayi perempuan mereka berusia 11 bulan maut selepas kereta dinaiki terbabas akibat melanggar sekumpulan lembu di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang di sini pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, mangsa iaitu Nur Adriana Amira Mohamad Norismail beralamat Felda Purun di sini disahkan meninggal dunia semasa sedang menerima rawatan di Klinik Bandar 32.

Menurutnya, siasatan awal mendapati dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam, kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu bapanya berusia 22 tahun dari arah Kepayang menuju ke Kerayong.

"Apabila tiba di tempat kejadian, sekumpulan lembu tiba-tiba keluar dari arah kiri ke kanan jalan menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak lalu melanggar haiwan tersebut sebelum kenderaan terbabas ke bahu jalan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Keadaan kereta yang remuk dinaiki tiga beranak dalam kejadian tersebut. Foto ihsan PDRM
Keadaan kereta yang remuk dinaiki tiga beranak dalam kejadian tersebut. Foto ihsan PDRM

Tambah beliau, si ibu berusia 21 tahun yang ketika itu memangku anaknya di tempat duduk penumpang depan mengalami kecederaan di bahagian kepala, manakala pemandu tidak cedera.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Bera untuk proses bedah siasat.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kenderaan dibawa ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) untuk menjalani pemeriksaan.

Artikel Berkaitan:

Antara lembu yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Foto ihsan PDRM
Antara lembu yang terlibat dalam kemalangan tersebut. Foto ihsan PDRM

Jelas beliau, dua lembu terbabit mati di tempat kejadian manakala seekor masih hidup akibat kemalangan tersebut.

"Sebenarnya malam tadi pihak veterinar Bera bersama pihak polis turut mengadakan operasi ke atas haiwan ternakan yang berkeliaran di jalan raya.

"Operasi bermula jam 11 malam dan kejadian berlaku lebih awal," tambahnya.

Ringkasan AI

  • Bayi perempuan berusia 11 bulan maut selepas kereta yang dipandu bapanya terbabas akibat melanggar sekumpulan lembu
  • Kemalangan terjadi di Kilometer 49 Jalan Kerayong–Simpang Kepayang di Bera pada malam Khamis
  • Ibu mangsa mengalami kecederaan di kepala sementara pemandu, bapanya, tidak cedera
  • Dua dari tiga lembu yang melintas jalan mati di tempat kejadian
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!