Bayi perempuan baru lahir ditemui dalam beg kitar semula

SUBANG JAYA – Seorang bayi perempuan dipercayai baru lahir ditemui di dalam sebuah beg kitar semula di luar sebuah rumah di Jalan USJ 9/5K di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian tersebut dimaklumkan oleh orang awam.
"Polis menerima maklumat daripada orang awam mengenai penemuan bayi yang masih hidup dan masih bertali pusat itu pada jam 10.27 pagi.
"Siasatan mendapati bayi perempuan cukup sifat itu dijumpai dalam keadaan tidak berpakaian dengan uri masih berdarah di dalam beg kitar semula berwarna biru," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Katanya, bayi itu segera dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
"Hasil pemeriksaan mendapati bayi berkenaan mempunyai berat 2.6 kilogram dan panjang 43 sentimeter.
"Bayi itu dilaporkan dalam keadaan sihat dan stabil," katanya.
Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan.
"Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor T.Vanitha di talian 017-2229832 atau 03-7862 7222 (Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya)," katanya.
Wan Azlan berkata, polis menghargai keprihatinan orang awam yang menyalurkan maklumat dan menyeru masyarakat agar terus peka terhadap keselamatan komuniti sekeliling.
Ringkasan AI
- Bayi perempuan baru lahir ditemui di dalam beg kitar semula di luar rumah di Subang Jaya
- Orang awam yang memaklumkan polis tentang penemuan bayi tersebut
- Bayi dipercayai baru lahir ditemui masih bertali pusat dan tidak berpakaian
- Bayi segera dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut dan dilaporkan dalam keadaan sihat dan stabil
- Kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan, polis meminta orang ramai tampil membantu siasatan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

