Kemalangan jalan raya di Malaysia: Krisis yang semakin parah

MALAYSIA kini berdepan dengan krisis kemalangan jalan raya yang semakin membimbangkan. Setiap tahun, angka kemalangan terus meningkat, meragut nyawa, mencederakan ribuan orang dan memberi kesan besar kepada ekonomi negara.
Pada tahun 2023, sebanyak 599,967 kemalangan direkodkan, dan jumlah ini meningkat kepada 638,060 pada tahun berikutnya. Lebih membimbangkan, hari pertama Op Selamat Aidilfitri 2025 mencatatkan lebih 2,000 kemalangan, meningkat 16 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Meskipun terdapat sedikit penurunan dalam kadar kematian akibat penguatkuasaan lebih ketat, jumlah keseluruhan kemalangan masih terlalu tinggi dan memerlukan tindakan segera.
Apabila dibandingkan dengan negara maju seperti Jepun dan negara-negara Kesatuan Eropah, kadar kematian jalan raya di Malaysia adalah jauh lebih tinggi. Jepun misalnya, mencatatkan hanya 3,216 kematian pada 2022, dengan kadar hanya 2.6 kematian bagi setiap 100,000 penduduk.
Malah, Singapura yang memiliki kepadatan penduduk tinggi berjaya menurunkan kadar kemalangan melalui strategi berkesan. Ini menunjukkan bahawa Malaysia mampu menurunkan kadar kemalangan jika tindakan menyeluruh dan bersasar diambil dengan segera.
Sebahagian besar kemalangan jalan raya di Malaysia berpunca daripada kesilapan manusia dan pengabaian undang-undang jalan raya. Pemanduan cuai, penggunaan telefon bimbit semasa memandu, memandu laju, tidak mematuhi lampu isyarat, memotong secara berbahaya dan mengikut terlalu rapat antara kesalahan yang lazim berlaku.
Pemanduan di bawah pengaruh alkohol atau dadah, kenderaan tidak diselenggara dengan baik, serta tingkah laku agresif di jalan raya turut menjadi penyumbang utama.
Namun begitu, krisis ini tidak hanya disebabkan oleh kesalahan individu. Terdapat faktor sistemik yang memburukkan keadaan.
Budaya pemanduan yang kasar dan tidak beretika telah menjadi kebiasaan, dengan pemandu enggan memberi laluan dan sering menunjukkan sikap tidak sabar.
Penguatkuasaan juga tidak konsisten; kenderaan berat sering menggunakan lorong laju, lorong kecemasan pula disalah guna, dan papan tanda had laju sering tidak jelas.
Tambahan pula, tiada pemeriksaan keselamatan tahunan diwajibkan ke atas kenderaan persendirian, sedangkan ia menjadi amalan biasa di negara maju.
Ramai juga pemandu tidak menjalani latihan semula selepas bertahun-tahun memegang lesen, menyebabkan kemahiran memandu merosot.
Di samping itu, penggunaan tempat duduk keselamatan untuk kanak-kanak masih rendah walaupun telah diwajibkan sejak 2020. Tindakan melanggar garisan berkembar dan reka bentuk jalan raya yang tidak menepati piawaian turut menyumbang kepada risiko.
Lorong yang sempit, lorong kecemasan yang terlalu kecil, serta persimpangan kompleks seperti ‘scissors junction’ menjadikan perjalanan lebih berbahaya, khususnya bagi kenderaan berat atau dalam keadaan cuaca buruk.
Untuk menangani masalah ini, tindakan jangka pendek seperti meningkatkan kehadiran polis trafik, mengetatkan penguatkuasaan undang-undang, dan melaksanakan kempen kesedaran besar-besaran amat diperlukan.
Papan tanda had laju perlu dipaparkan dengan jelas untuk membantu pemandu mematuhi peraturan, bukan untuk memerangkap mereka. Langkah jangka panjang pula termasuklah memperbaharui sistem latihan pemandu, mewajibkan pemeriksaan keselamatan tahunan ke atas semua kenderaan, serta menaik taraf reka bentuk jalan agar menepati piawaian antarabangsa.
Selain itu, teknologi perlu dimanfaatkan dengan memperluaskan penggunaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) dan sistem analisis berasaskan AI untuk mengenal pasti kawasan berisiko.
Penguatkuasaan berkaitan tempat duduk keselamatan kanak-kanak juga perlu diperkukuh. Di samping itu, pengurangan bilangan kenderaan persendirian melalui pelaburan dalam pengangkutan awam yang efisien boleh membantu mengurangkan kesesakan dan kemalangan.
Akhirnya, budaya keselamatan jalan raya perlu dipupuk dari usia muda agar rakyat lebih menghormati peraturan dan sedar akan tanggungjawab mereka sebagai pengguna jalan raya.
Krisis kemalangan jalan raya di Malaysia bukan lagi isu kecil. Ia menuntut komitmen serius dari semua pihak – kerajaan, swasta dan orang awam – demi memastikan keselamatan setiap nyawa di jalan raya negara ini terpelihara. Masa untuk bertindak adalah sekarang.
*Dr Ir Muhidin Arifin adalah merupakan seorang ahli akademik
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

