Tibi: Kenali simptom, segera dapatkan rawatan

BATUK berpanjangan, peluh malam dan penurunan berat badan tanpa sebab mungkin kelihatan remeh, namun ia berpotensi menjadi petanda awal penyakit tuberkulosis atau tibi, iaitu sejenis penyakit berjangkit yang kini membimbangkan di negara ini.
Ia dapat dilihat berdasarkan kes baharu sebanyak 503 dikesan di seluruh negara sehingga Minggu Epidemiologi kelima tahun ini (ME 5/2026) menjadikan bilangan keseluruhan kes kepada 2,571 setakat ini.
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi, iaitu 614 kes diikuti Selangor (476 kes), Sarawak (257 kes), Johor (233 kes) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya (202 kes).
Sebanyak 148 kes direkodkan di Pulau Pinang, Kedah (144 kes), Perak (127 kes), Kelantan (96 kes), Pahang (81 kes), Terengganu (60 kes), Negeri Sembilan (58 kes), Melaka (42 kes), Perlis (17 kes) dan Labuan (16 kes).
Angka ratusan di beberapa buah negeri itu agak membimbangkan apatah lagi kesan penyakit tersebut bukan sahaja menjejaskan paru-paru, malah boleh merebak ke organ lain sekiranya tidak dirawat dengan segera.
Lebih risau apabila tibi boleh membawa maut jika pesakit gagal mendapatkan rawatan awal atau tidak mematuhi tempoh rawatan yang ditetapkan.
Antara gejala utama tibi ialah batuk melebihi dua minggu, kahak bercampur darah, demam berpanjangan, peluh malam serta kehilangan selera makan.
Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan pemeriksaan segera di klinik atau hospital berhampiran sekiranya mengalami simptom berkenaan.
Golongan berisiko tinggi seperti pesakit diabetes, warga emas dan perokok disaran menjalani saringan kesihatan secara berkala kerana sistem imun yang lemah meningkatkan risiko jangkitan.
Oleh itu, langkah pencegahan seperti mengamalkan etika batuk yang betul, memakai pelitup muka dan memastikan pengudaraan yang baik di rumah serta tempat kerja amat digalakkan.
Dalam masa sama masyarakat diingatkan agar tidak memandang ringan simptom awal penyakit berkenaan.
Pengesanan dan rawatan awal bukan sahaja meningkatkan peluang sembuh, malah membantu memutuskan rantaian jangkitan dalam komuniti.
Ringkasan AI
- Batuk berpanjangan, peluh malam dan penurunan berat badan tanpa sebab adalah petanda awal penyakit tuberkulosis
- Kes baharu sebanyak 503 dikesan di seluruh negara sehingga minggu epidemiologi kelima tahun ini
- Sabah mencatatkan jumlah kes tertinggi, diikuti Selangor, Sarawak, Johor serta Kuala Lumpur dan Putrajaya
- Tibi boleh membawa maut jika pesakit gagal mendapatkan rawatan awal
- Orang ramai disaran menjalani pemeriksaan segera di klinik atau hospital sekiranya mengalami gejala utama tibi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

