Dakwaan Maritim Malaysia serbu Masjid Rusila hanya salah faham, kes selesai

Saifuddin Nasution Ismail
Saifuddin Nasution Ismail
A
A
A

PUTRAJAYA - Dakwaan bahawa anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menyerbu Masjid Rusila di Marang, Terengganu pada 19 September lepas hanyalah salah faham dan kes itu telah diselesaikan oleh pihak berkuasa.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kejadian sebenar hanya melibatkan enam anggota Maritim yang singgah menunaikan solat Asar semasa menjalani latihan terancang, dan insiden itu tidak sepatutnya disalahtafsirkan.

"Janganlah melebih-lebihkan satu program yang bertujuan melahirkan pasukan elit tanpa meneliti fakta sebenar. Perkara ini telah diurus dengan baik pada bulan lepas, namun tiba-tiba diberi gambaran seolah-olah berlaku serbuan komando masuk ruang solat dengan memakai kasut, sedangkan perkara ini amat sensitif,” katanya pada sidang media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di sini pada Khamis.

Saifuddin Nasution berkata, latihan itu dijalankan dari Kuala Terengganu hingga ke Kuantan, Pahang dengan beberapa lokasi awam dijadikan checkpoint, dan Masjid Rusila adalah satu daripada tempat persinggahan untuk tujuan menunaikan solat semata-mata.

Beliau berkata, kes tersebut telah diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA) setelah polis mendapati tiada sebarang kejadian luar biasa berlaku dan penerangan lengkap telah diberikan kepada pengurusan masjid berkenaan.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan membangkitkan kebimbangan berhubung latihan tersebut dengan mendakwa sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran sambil memakai kasut.

Sehubungan itu, Saifuddin Nasution mengingatkan semua pihak agar berpada-pada dalam membincangkan perkara yang boleh menjejaskan tanggungjawab pasukan penguatkuasaan negara.

"Biar kita berlaku adil dalam menyampaikan maklumat, sama ada di dalam Dewan Rakyat atau di luar, supaya tidak menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.

"Negara kita perlu hidup aman dan damai, tetapi Parlimen digunakan untuk membangkitkan sentimen sebegini hanya demi keuntungan politik. Saya rasa lebih baik hentikan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Dakwaan Maritim Malaysia menyerbu Masjid Rusila hanya salah faham, kes sudah diselesaikan
  • Kejadian sebenar melibatkan anggota Maritim singgah solat Asar semasa latihan
  • Latihan dari Kuala Terengganu ke Kuantan, Masjid Rusila jadi checkpoint menunaikan solat
  • Kes diklasifikasikan No Further Action setelah tiada kejadian luar biasa, penjelasan diberi pada pengurusan masjid
  • Saifuddin mengingatkan pentingnya keadilan dalam menyampaikan maklumat, elak keresahan sosial

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!