Salah faham kaedah bayaran, pelanggan naik angin lempar barang

Tangkap layar video tular di media sosial kes kekasaran seorang pelanggan di sebuah pasar mini dekat Selama pada Selasa.
Tangkap layar video tular di media sosial kes kekasaran seorang pelanggan di sebuah pasar mini dekat Selama pada Selasa.
A
A
A

LARUT - Perselisihan faham mengenai kaedah pembayaran menyebabkan seorang pelanggan bertindak melempar bungkusan barangan ke arah juruwang dalam kejadian di sebuah pasar mini dekat Selama di sini.

Kejadian sekitar jam 10 pagi pada Selasa itu tular dan mendapat perhatian umum selepas video dipercayai rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 1 minit 43 saat dikongsi di media sosial.

Ketua Polis Daerah Selama, Superintenden Sarudin Samah berkata, siasatan awal mendapati, pelanggan lelaki terbabit mempersoalkan kaedah bayaran yang ditetapkan pihak pasar mini.

"Akibat salah faham tersebut, berlaku pertengkaran antara lelaki terbabit dengan juruwang wanita.

"Secara tidak semena-mena, lelaki itu telah melemparkan barang beliaannya dalam bungkusan plastik ke arah kepala wanita berkenaan," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Sarudin berkata, kedua-dua pihak telah tampil ke Balai Polis Selama pada hari sama untuk membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Katanya, juruwang wanita telah diberi borang PDRM (A) 59 untuk dirujuk ke Hospital Selama bagi mendapatkan pemeriksaan pegawai perubatan.

"Hasil pemeriksaan mendapati mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan fizikal dan dibenarkan pulang," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua individu terlibat memutuskan untuk menarik balik laporan masing-masing secara sukarela selepas mencapai perdamaian.

Artikel Berkaitan:

"Kes tersebut telah dirujuk kepada Bahagian Siasatan/Perundangan, Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA)," jelas beliau.

Video itu memaparkan aksi kasar lelaki berkenaan yang melempar barang ke arah juruwang terbabit ketika sedang berurusan di kaunter pembayaran.

Rata-rata netizen mengecam tindakan pelanggan itu yang disifatkan tidak beradab dan melampaui batas, selain berpendapat sebarang salah faham tidak wajar diselesaikan dengan kekasaran.

Ringkasan AI

  • Perselisihan faham tentang kaedah pembayaran menyebabkan seorang pelanggan melempar bungkusan barang ke arah juruwang di pasar mini dekat Selama
  • Video insiden itu menjadi tular di media sosial setelah dipercayai dirakam oleh kamera CCTV
  • Pelanggan lelaki dan juruwang wanita terlibat pertengkaran kerana salah faham mengenai kaedah bayaran yang ditetapkan
  • Kedua-dua individu membuat laporan polis tetapi memutuskan untuk menarik balik laporan tersebut secara sukarela setelah mencapai perdamaian
  • Kes tersebut diklasifikasikan sebagai Tiada Tindakan Lanjut (NFA) oleh Polis

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!