Maritim Malaysia nafi serbu masjid, jelaskan hanya latihan taktikal STAR Team

PUTRAJAYA – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menafikan dakwaan kononnya pasukan elit agensi itu melakukan serbuan di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 19 September lalu.
Ketua Pengarahnya, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, tuduhan yang dibuat oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan itu tidak berasas serta menjejaskan imej pasukan keselamatan dan moral anggota elit negara.
"Maritim Malaysia tidak pernah dan tidak akan menjadikan rumah ibadah sebagai lokasi serbuan atau operasi.
"Aktiviti yang dimaksudkan sebenarnya merupakan sebahagian daripada latihan taktikal Survival, Evasion, Resistance and Escape (SERE) yang dijalankan oleh Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team)," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Jelasnya, latihan berkenaan penting bagi membentuk daya tahan fizikal dan mental, selain mendidik anggota agar bijak berinteraksi dengan masyarakat ketika menjalankan misi penyamaran di lapangan.
"Masjid berkenaan hanya dijadikan lokasi beriktikaf dan berehat selepas menunaikan solat Asar sebelum pelatih menerima tugasan seterusnya.
"Pihak masjid juga dimaklumkan lebih awal mengenai kehadiran mereka dan tiada sebarang gangguan terhadap jemaah mahupun aktiviti keagamaan berlaku," katanya.
Tambahnya, tiada elemen kekerasan atau tindakan tidak wajar sebagaimana yang didakwa, sebaliknya para pelatih hanya menunaikan ibadah di rumah ALLAH itu.
Ujarnya, elemen keagamaan turut diterapkan dalam modul latihan sebagai asas pembentukan jati diri, integriti serta nilai moral anggota penguat kuasa.
"Isu laporan polis yang timbul susulan salah faham itu juga telah diselesaikan secara baik apabila pihak masjid menerima penjelasan lanjut dan memohon maaf kepada agensi berkenaan.
"Latihan STAR Team direka untuk melahirkan anggota Maritim yang bukan sahaja cekap dan berani, tetapi juga berakhlak serta sanggup berkorban demi agama, bangsa dan tanah air," katanya.
Mohd Rosli turut menegaskan bahawa semua aktiviti latihan dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat serta di bawah pemantauan jurulatih kanan agensi.
Terdahulu, media tempatan pada Rabu melaporkan Takiyuddin menerusi sidang Dewan Rakyat mempersoalkan berhubung satu latihan didakwa dijalankan Maritim Malaysia di Masjid Rusila, Marang, Terengganu pada 29 September lalu.
Beliau berkata, tindakan itu seolah-olah mengulang peristiwa Memali 1985.
Takiyuddin mendakwa ketika kejadian sekumpulan 10 hingga 15 individu menaiki lima kenderaan memasuki Masjid Rusila tanpa kebenaran.
Jelas beliau, tindakan itu bukan sahaja menimbulkan ketakutan malah mencetuskan keresahan dalam kalangan jemaah.
Ringkasan AI
- Maritim Malaysia menafikan dakwaan melakukan serbuan di Masjid Rusila, Marang, Terengganu
- Tuduhan itu tidak berasas dan menjejaskan imej pasukan keselamatan
- Aktiviti di masjid merupakan sebahagian dari latihan taktikal Survival, Evasion, Resistance and Escape
- Masjid hanya dijadikan lokasi untuk beriktikaf dan berehat, tiada gangguan terhadap jemaah
- Isu yang timbul telah diselesaikan secara baik dengan masjid dan tiada elemen kekerasan dalam latihan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

