Polis serbu lombong emas haram di Jeli, tiga warga Indonesia ditahan

JELI – Kegiatan melombong emas secara haram di daerah ini terbongkar apabila polis menahan tiga lelaki warga Indonesia dalam satu operasi khas dijalankan pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Jeli, Superintenden Kamarulzaman Harun berkata, operasi itu dijalankan selepas pihak berkuasa menerima maklumat berkaitan aktiviti perlombongan emas yang dijalankan tanpa kebenaran.
"Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki warga Indonesia ditahan selepas tinggal di Malaysia melebihi tempoh yang ditetapkan.

"Seorang lagi warga Indonesia pula ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta tidak memiliki permit bagi menjalankan aktiviti perlombongan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut beliau, pemeriksaan lanjut di lokasi turut menemui beberapa peralatan dipercayai digunakan dalam kegiatan tersebut.
Ujarnya, antara barangan yang dirampas ialah dua jentera berat, sebuah mesin pam sedut air serta satu palong melombong emas.

Kamarulzaman memberitahu, semua tahanan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut sementara peralatan yang dirampas dibawa ke balai polis bagi tujuan siasatan.
Tambah beliau, serbuan tersebut dilakukan oleh Pasukan Task Force Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jeli dengan kerjasama Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Jajahan Negeri Kelantan di bawah Op Intra/Inter Agensi.
"Kami akan terus mempergiatkan operasi seumpama itu bagi membanteras sebarang bentuk pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti haram di kawasan sempadan negara, khususnya di Kelantan," katanya.
Ringkasan AI
- Kegiatan melombong emas secara haram di Jeli terbongkar, tiga warga Indonesia ditahan
- Operasi khas dijalankan selepas menerima maklumat aktiviti perlombongan tanpa kebenaran
- Dua ditahan kerana tinggal melebihi tempoh, seorang gagal mengemukakan dokumen sah
- Pemeriksaan di lokasi menemui peralatan perlombongan dan barangan dirampas termasuk dua jentera berat
- Serbuan dilakukan dengan kerjasama PTG Kelantan, semua tahanan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

