Lima warga Indonesia ditahan kes bunuh rakan senegara

KLUANG – Lima lelaki warga Indonesia ditahan bagi membantu siasatan kes bunuh seorang rakan senegara berusia lingkungan 30-an yang maut dipercayai akibat tikaman di dada kiri, pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian itu dimaklumkan kepada pihak polis pada kira-kira jam 9.36 pagi selepas mangsa dibawa ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom dan disahkan meninggal dunia.
“Hasil siasatan membawa kepada penahanan lima suspek warga Indonesia berusia antara 21 hingga 31 tahun di sekitar Paloh kira-kira jam 1.00 pagi pada Ahad.
“Kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan saringan awal air kencing juga negatif dadah,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula Ahad bagi membantu siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

