Tiga lelaki warga asing dikurung berjaya diselamatkan

GEORGE TOWN – Polis berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing yang dikurung dalam sebuah pangsapuri di sini dalam satu serbuan yang dijalankan pada Selasa.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga asing berusia 47 tahun yang memaklumkan rakannya telah dikurung di sebuah pangsapuri di bandar raya ini.
Menurutnya, bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis telah menyerbu rumah berkenaan kira-kira jam 2 petang dan menemui tiga mangsa berusia antara 28 hingga 52 tahun dalam keadaan sihat.
“Dalam serbuan tersebut, polis turut menahan empat individu iaitu tiga lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 56 tahun.
"Polis turut menahan seorang wanita warga asing berusia 40 tahun yang dipercayai menjaga mangsa di rumah berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Tambah Swee Sake, polis masih menjalankan siasatan berhubung tempoh kesemua mangsa dikurung di rumah tersebut.
“Siasatan mendapati, warga asing berkenaan ada yang mempunyai pasport yang sah dan ada yang sudah tamat tempoh.
"Kita juga masih mengumpul maklumat dan menyiasat semua maklumat yang diberikan oleh mangsa dan suspek yang bertindak sebagai penjaga,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah.
“Kesemua suspek telah direman selama empat hari bermula 11 hingga 14 Jun bagi membantu siasatan.
“Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kes ini yang boleh menjejaskan siasatan,” katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

