Inkues Zara Qairina: Barang hilang, kumpulan Circle 19 akan tanya sendiri pelajar disyaki - Saksi

KOTA KINABALU – Dalam prosiding inkues Zara Qairina yang berlangsung di Mahkamah Koroner pada Isnin, saksi ke-20 memberitahu bahawa sekiranya berlaku kehilangan barang di asrama, kumpulan pelajar senior yang dikenali sebagai Circle 19 akan bertindak untuk menemui dan menyoal pelajar junior yang disyaki.
Saksi yang juga kanak-kanak ke-11 turut mengesahkan bahawa kumpulan Circle 19 mempunyai ketua kumpulan sendiri.
Peguam Rizwandean M Borhan berkata, saksi merupakan pelajar senior kepada Allahyarham Zara Qairina di sekolah dan tinggal di aras asrama yang sama dengan Zara.
Menurutnya, saksi menyatakan bahawa sepanjang beliau mengenali Zara, dia merupakan seorang pelajar yang baik, periang, ceria dan suka menegur orang, selain suka berkongsi makanan.
“Saksi menjelaskan bahawa sekiranya berlaku kehilangan barang di asrama, kebiasaannya terdapat kumpulan pelajar senior daripada Circle 19 yang akan berjumpa sendiri dan bertanya kepada pelajar junior yang disyaki.
“Kebiasaannya kumpulan pelajar senior Circle 19 ini akan memanggil pelajar junior secara berkumpulan jika ada yang disyaki mencuri. Menurut ingatan saksi, perkara ini sudah berlaku beberapa kali,” katanya selepas hadir pada prosiding di sini.
Menurutnya lagi, saksi berkata, beliau tidak pernah turut serta dalam kumpulan pelajar tersebut dan memaklumkan setiap kumpulan pelajar di sekolah mempunyai kumpulan tersendiri.
“Circle 19 merupakan kumpulan pelajar yang terbesar dalam batch saksi. Saksi mengatakan bahawa ketika beliau masih pelajar junior, wujud juga kumpulan pelajar senior seperti Circle 19 yang biasa memanggil dan berjumpa pelajar junior.
"Saksi berkata bukan kebiasaan bagi pelajar menyelongkar loker atau almari pelajar junior untuk kes kecurian. Saksi juga mengatakan bahawa bukan kebiasaan bagi pelajar senior memaki pelajar junior.
"Saksi berpandangan bahawa bagi sebarang kes kecurian dalam kalangan pelajar junior, beliau sendiri atau pelajar terbabit akan melaporkan kepada guru untuk tindakan lanjut,” katanya.
Rizwandean memaklumkan, saksi juga berkata bahawa Zara Qairina pernah dipanggil oleh pelajar senior beberapa kali sebelum 15 Julai lalu.
“Selepas dipanggil oleh senior, Zara kelihatan sedih, kecewa dan tertekan. Beliau pernah berjumpa Zara sebanyak dua hingga tiga kali di bilik dorm Zara dan meminta maaf kepada Zara bagi pihak pelajar senior kumpulan Circle 19.
“Saksi mengatakan bukan sahaja Zara yang ditemuinya untuk meminta maaf bagi pihak senior, malah saksi turut berbuat demikian kepada pelajar junior lain selepas mereka dipanggil oleh kumpulan pelajar senior.
“Saksi berkata beliau meminta maaf kepada Zara kerana kasihan melihat keadaan Zara selepas dipanggil oleh pelajar senior kumpulan tersebut,” katanya.
Katanya lagi, saksi pernah beberapa kali memujuk Zara selepas dipanggil oleh kumpulan pelajar senior kerana beliau sendiri pernah mengalami situasi seperti dialami oleh Zara Qairina.
“Saksi berkata, beliau selalu melihat Zara berkawan rapat dengan seorang pelajar senior yang merupakan ahli Badar. Menurut pandangan saksi, pelajar senior itu seorang yang baik dan berdisiplin. Saksi tahu Zara memang berniat mahu menjadi ahli Badar.
“Pada malam 15 Julai, sekitar jam 10 malam hingga 11 malam, saksi mendapat tahu daripada pelajar lain bahawa Zara telah dipanggil oleh beberapa pelajar senior untuk disoal berhubung kehilangan kad bank dan pin bendera milik pelajar lain.
“Saksi berkata ramai pelajar asrama tahu dan kecoh mengenai Zara dipanggil kumpulan pelajar senior Circle 19 ke sebuah bilik dorm.
“Saksi berkata beliau pergi ke hadapan bilik dorm tempat Zara disoal oleh pelajar senior kerana ingin meminjam kasut. Seingat saksi, masa ketika itu sekitar jam 11 malam ke atas kerana lampu bilik dorm sudah ditutup,” katanya.
Rizwandean berkata lagi, semasa melalui koridor di hadapan bilik dorm Zara, saksi melihat seorang pelajar junior mengeluarkan kata-kata kesat.
“Menurut saksi, beliau mendengar kata-kata pelajar junior itu dengan nada kuat, jelas dan dalam keadaan marah,” katanya.
Rizwandean dan pasukan peguam lain iaitu Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat.
Allahyarham Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.
Ringkasan AI
- Dalam prosiding inkues Zara Qairina, saksi ke-20 menyatakan Circle 19 ialah kumpulan pelajar senior yang bertanggungjawab menyoal siasat pelajar junior berkenaan kehilangan barang di asrama
- Kumpulan Circle 19 mempunyai ketua kumpulan sendiri
- Zara Qairina dipanggil beberapa kali oleh pelajar senior sebelum 15 Julai dan kelihatan sedih serta tertekan selepas itu
- Pada malam 15 Julai, Zara dipanggil untuk disoal berhubung kehilangan kad bank dan pin bendera
- Zara ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada 16 Julai dan disahkan meninggal dunia esok harinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
