Inkues: Zara Qairina pernah dipanggil senior kerana masalah dengan kawan - Saksi

KOTA KINABALU - Saksi ke-20 inkues kematian Zara Qairina Mahathir memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa pelajar Tingkatan Satu itu seorang yang baik dan gemar berkongsi makanan.
Malah, saksi yang juga kanak-kanak ke-11 dalam inkues ini memberitahu mahkamah bahawa Zara Qairina seorang yang gemar menyapa memberi salam dan berkawan dengan senior.
Saksi memaklumkan perkara itu ketika memberi keterangannya di hadapan Hakim Koroner Hakim Koroner Amir Shah Amir Hassan melalui 'in camera' pada Isnin.
Peguam Mohd Azhier Farhan Arisin berkata, saksi memaklumkan Zara Qairina adalah juniornya yang tinggal bersama di asrama di sekolah berkenaan.
"Sepanjang mengenali Zara, saksi mengatakan bahawa Zara seorang yang baik dan suka menegur orang contohnya dia akan memberi salam kepada 'Assalamualaikum kak' dan suka berkongsi makanan.
"Saksi sendiri pernah bercakap dengan Zara dan seingat saksi, Zara pernah dipanggil oleh pelajar senior kerana masalah berkaitan kawan. Zara suka berkawan dengan pelajar senior.
"Saksi mengatakan pernah berjumpa dengan Zara sebanyak dua hingga tiga kali di bilik dorm Zara dan meminta maaf kepadanya bagi pihak pelajar senior dan pujuk Zara supaya tidak buat macam-macam," katanya kepada pemberita selepas menghadiri prosiding inkues di sini.
Dalam keterangannya, Mohd Azhier berkata, pada 15 Julai lalu sekitar jam 10 hingga 11 malam, saksi mendapat tahu Zara telah dipanggil ke bilik dorm oleh kumpulan pelajar senior yang atas tuduhan mencuri kad bank dan lencana bendera Malaysia.
"Saksi mendapat tahu pelajar telah menyelongkar barang-barang Zara untuk mencari barang yang hilang itu. Semasa saksi ingin mengambil kasut saya di bilik dorm iaitu di hadapan koridor, saksi terdengar 'Itulah mencuri lagi' sambil terdapat perkataan makian.
"Saksi mengatakan selepas dia mengambil kasutnya, dia terus masuk ke bilik dan tidur... Pada kira-kira 3.50 pagi, saksi bangun dan diberitahu 'ada orang mati'," katanya.
Azhier berkata, saksi memaklumkan dia dan semua pelajar senior yang lain berlari ke hujung tangga di depan bilik dorm kerana 'orang' itu telah diangkat ke hujung asrama
sementara menunggu ambulans sampai.
"Saksi memaklumkan dia kemudian pergi ke surau dan sebaik tiba barulah dia tahu 'orang' yang dimaksudkan tersebut ialah Zara.
"Pada jam 6.30 pagi, saksi bersama-sama pasukan hoki sekolah telah pergi ke Komplek Sukan Likas untuk menghadiri perlawanan hoki. Sekembalinya dari
pertandingan tersebut kira-kira jam 6 petang, saksi mendapat tahu Zara sudah berada dalam keadaan tenat," katanya.
Dalam keterangannya, saksi memaklumkan bahawa dia hanya tahu mengenai kejadian yang berlaku di dorm berkaitan selepas diceritakan oleh pelajar lain.
"Saksi memberitahu bahawa menurut cerita itu, tiada kejadian pukul berlaku ke atas Zara," katanya.
tamat
Ringkasan AI
- Zara Qairina, pelajar Tingkatan Satu, diketahui sebagai individu yang baik dan suka berkongsi makanan
- Dia juga dikenali gemar menyapa dan berkawan dengan pelajar senior
- Seorang saksi dalam inkues itu menyatakan mereka pernah mendengar tuduhan pencurian terhadap Zara yang membawa kepada pemeriksaan barang-barangnya oleh pelajar senior
- Saksi tersebut terjaga pada tengah malam dan kemudian mendapat tahu tentang kematian Zara
- Saksi hanya mengetahui tentang kejadian yang berlaku di dorm melalui cerita dari pelajar lain dan tiada kejadian pukul terhadap Zara berlaku
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
