Lawatan ‘locus in quo’ ke sekolah Zara Qairina ditangguh, inkues bersambung 31 Mac

KOTA KINABALU – Lawatan ‘locus in quo’ ke lokasi kejadian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sebuah sekolah menengah agama di Papar, yang dijadualkan berlangsung pada Jumaat ini, ditangguhkan.
Perkara itu dimaklumkan semasa prosiding inkues kematian pelajar berkenaan selepas selesai mendengar keterangan tiga saksi di Mahkamah Koroner di sini pada Selasa.
Menurut kenyataan bersama peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, selepas perbincangan dengan pihak-pihak berkepentingan, mahkamah telah memutuskan untuk menangguhkan sesi lawatan tersebut.
Prosiding inkues yang sebelum ini dijadualkan berlangsung sehingga Jumaat ini ditamatkan lebih awal dan akan disambung semula pada 31 Mac depan.
Untuk rekod, dalam prosiding kali ini, beberapa saksi kanak-kanak dan guru dari sekolah menengah agama berkenaan telah dipanggil semula untuk memberi keterangan masing-masing.
Sementara itu, pada minggu ini, seramai empat saksi baharu dipanggil memberi keterangan, iaitu seorang guru dari sekolah menengah agama yang mengajar Zara Qairina, ibu Pelajar A serta dua lagi guru Sekolah Agama Negeri (SAN) di Sipitang yang pernah mengajar remaja tersebut.
Setakat ini, seramai 64 saksi termasuk kanak-kanak telah memberi keterangan di Mahkamah Koroner.
Zara Qairina, 13, ditemukan tidak sedarkan diri pada 16 Julai tahun lalu sebelum disahkan meninggal dunia keesokan harinya di Hospital Queen Elizabeth, di sini.
Pasukan peguam yang mewakili ibu Zara Qairina, Noraidah Lamat, ialah Shahlan Jufri, Rizwandean M Borhan, Mohd Syarulnizam Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Peguam bagi bapa Zara Qairina, Mahathir Mohd Hashim, ialah Sherzali Herza Asli, Nurul Rafeeqa Afdul Mutolip dan Clarice Vyonne Conrad.
Peguam bagi Pelajar A ialah Datuk Ram Singh, Joan Goh dan Prem Elmer Ganasan, manakala peguam bagi empat lagi pelajar diwakili oleh Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar Abdullah dan Sylvester Kuan.
Pasukan pegawai pengendali terdiri daripada Pengarah Pendakwaan Negeri Sabah, Nahra Dollah, serta Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari, Dana Arabi Wazani, Sofia S Sawayan dan Dacia Jane Romanus.
Ringkasan AI
- Lawatan locus in quo ke lokasi kejadian Zara Qairina Mahathir ditemukan tidak sedarkan diri ditangguhkan
- Keputusan penangguhan dibuat selepas perbincangan dengan peguam dan pihak berkepentingan
- Inkues kematian Zara Qairina akan disambung pada 31 Mac
- Empat saksi baharu termasuk guru dan ibu pelajar dipanggil memberi keterangan
- Seramai 64 saksi telah memberi keterangan di Mahkamah Koroner
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
