Inkues Zara Qairina: Zara nafi curi dompet, bersumpah ‘Wallahi’ - Saksi

Mohd Azhier
Mohd Azhier
A
A
A

KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner di sini pada Khamis diberitahu bahawa Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir pernah berkata, “dulu ja saya buat benda tu tapi sekarang saya berubah,” ketika ditanya oleh seorang rakan asrama berhubung dakwaan kecurian barang milik pelajar lain pada 15 Julai lalu.

Perkara itu dimaklumkan oleh saksi ke-19, iaitu seorang kanak-kanak berusia 10 tahun ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Peguam Mohd Azhier Farhan Arisin berkata, saksi memberitahu mahkamah bahawa dia dan Zara Qairina hanya kenalan biasa kerana tinggal di bilik asrama bersebelahan.

“Saksi menyatakan bahawa pada malam 15 Julai 2025, kira-kira jam 9 malam, rakan sebiliknya datang memaklumkan bahawa dompet yang mengandungi wang tunai dan kad pengenalan (IC) telah hilang.

“Rakan sebiliknya itu turut menyatakan syak terhadap Zara sebagai individu yang mengambil barang tersebut. Ketika Zara datang berjumpa dengannya, saksi bertanya sama ada dia tahu mengenai kehilangan dompet berkenaan,” katanya ketika prosiding.

Menurut Mohd Azhier, saksi menyatakan Zara menjawab “tahu” dan menafikan dia mencuri barang berkenaan.

“Saksi memintanya bersumpah dan Zara berkata, ‘Wallahi, saya tidak ambil barang tersebut’. Zara turut berkata, ‘dulu ja saya buat benda tu tapi sekarang saya berubah’,” katanya.

Tambah beliau, saksi menjelaskan bahawa selepas perbualan itu, dia tidak lagi bertanya apa-apa kepada Zara Qairina dan hanya berbual dengan rakannya yang lain.

“Saksi menegaskan bahawa dia tidak memarahi Zara semasa pertemuan itu, sebaliknya hanya bertanya dengan nada biasa. Selepas itu, dia menyuruh Zara pulang ke biliknya sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Saksi turut melihat pelajar lain datang dan bertanya kepada Zara tentang kehilangan barang berkenaan. Salah seorang pelajar berkata, ‘kau mengaku saja kalau kau yang ambil, kami tidak marah juga,’ namun Zara tidak mengaku,” katanya.

Mohd Azhier berkata, saksi memaklumkan bahawa selepas itu dia tidak mencampuri urusan antara Zara dan tiga pelajar lain tersebut.

“Saksi memberitahu mahkamah bahawa reaksi Zara ketika itu kelihatan normal dan dia menjawab dengan tenang. Lima minit kemudian, semua pelajar kembali ke bilik masing-masing.

“Saksi juga menyatakan tidak melihat Zara dalam keadaan tertekan atau menangis selepas pertemuan itu,” katanya.

Peguam Mohd Azhier bersama pasukannya Abdul Fikry Jaafar Abdullah, Farah Nazriah Chun Lee, Fareez Salleh dan Sylvester Kuan mewakili empat daripada lima remaja yang dikaitkan dengan kes Zara Qairina.

Mereka hadir sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues yang kini memasuki hari ke-20.

Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.

Ringkasan AI

  • Zara Qairina Mahathir dituduh mencuri barang milik pelajar lain
  • Seorang kanak-kanak berusia 10 tahun memberi keterangan sebagai saksi
  • Zara Qairina menafikan tuduhan curi dan bersumpah tidak ambil barang tersebut
  • Selepas perbualan mengenai kehilangan, saksi tidak lagi bertanya apa-apa kepada Zara
  • Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia di hospital

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!