Inkues Zara Qairina: 'Circle Nineteen' tak terlibat buli Zara Qairina, pelajar junior lain - Saksi

Joan Goh.
Joan Goh.
A
A
A

KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner di sini pada Khamis diberitahu bahawa kumpulan pelajar yang dikenali sebagai ‘Circle Nineteen’ tidak pernah terlibat dalam sebarang perbuatan membuli Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir atau pelajar junior lain di sekolah.

Perkara itu dimaklumkan oleh saksi ke-19, iaitu seorang kanak-kanak yang juga pelajar sekolah terbabit, ketika memberi keterangan di hadapan Hakim Koroner, Amir Shah Amir Hassan.

Peguam Joan Goh berkata, pihaknya bertanya secara langsung kepada saksi tersebut berhubung kewujudan dan peranan kumpulan ‘Circle Nineteen’ semasa prosiding inkues kematian Zara Qairina.

“Saksi menjelaskan bahawa ‘Circle Nineteen’ hanyalah kumpulan 19 pelajar yang merupakan rakan rapat sejak Tingkatan Satu dan sering melakukan aktiviti bersama.

“Saya bertanya secara khusus sama ada kumpulan itu pernah terlibat membuli Zara pada bila-bila masa, dan jawapan saksi adalah ‘tidak’. Saya juga bertanya sama ada mereka pernah membuli pelajar junior lain, dan jawapan juga ‘tidak’,” katanya kepada pemberita di pekarangan Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu.

Joan berkata, dalam keterangannya, saksi turut memaklumkan bahawa dia pernah menerima maklumat daripada seorang pelajar junior mengenai kehilangan dompet dan timbul syak terhadap Zara.

“Saksi mengarahkan seseorang memanggil Zara ke dorm dan bertanya dengan baik sama ada Zara mengambil dompet tersebut. Zara menjawab, ‘dulu saja saya buat benda ini, sekarang tidak sudah’, lebih kurang begitu katanya.

“Selepas itu, saksi berbual seperti biasa dengan rakan-rakan lain di dalam bilik. Kemudian, seorang senior lain masuk dan saksi tidak tahu apa yang berlaku selepas itu, lalu keluar dari dorm dan tidur sekitar jam 10 malam,” katanya.

Jelas beliau, berdasarkan keterangan diberikan, tiada sebarang unsur paksaan, tekanan mahupun tindakan agresif dilaporkan berlaku terhadap Zara oleh saksi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Joan bersama rakan sepasukannya, Datuk Ram Singh, mewakili salah seorang daripada lima remaja yang dikaitkan dalam kes Zara Qairina dan hadir sebagai pihak berkepentingan dalam prosiding inkues yang sedang berlangsung.

Allahyarhamah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolahnya pada awal pagi 16 Julai lalu, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth (HQE) keesokan harinya.

 

 

Ringkasan AI

  • Kumpulan pelajar 'Circle Nineteen' tidak terlibat membuli Zara Qairina Mahathir atau pelajar junior lain
  • Saksi ke-19, seorang pelajar, memberi keterangan di Mahkamah Koroner Kota Kinabalu
  • 'Circle Nineteen' terdiri daripada 19 pelajar yang merupai rakan rapat sejak Tingkatan Satu
  • Tiada unsur paksaan, tekanan atau tindakan agresif terhadap Zara oleh saksi
  • Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah dan meninggal dunia keesokan harinya

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!