Bersembunyi dalam almari, mangsa eksploitasi diselamatkan

SEREMBAN - Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang disyaki menjadi mangsa eksploitasi diselamatkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Sembilan pada Selasa.
Wanita berusia 51 tahun itu diselamatkan dalam satu operasi penguatkuasaan pada jam 1 tengah hari hingga 3 petang di sebuah premis di Taman Rasah Kemayan di sini.
Pengarah JIM Negeri Sembilan, Kennith Tan Ai Kiang berkata, mangsa ditemui bersembunyi di dalam sebuah almari pakaian di bilik utama kediaman tersebut.
"Mangsa yang merupakan warganegara Indonesia didapati tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah.
"Susulan itu, mangsa telah diselamatkan dan dibawa ke Pejabat Imigresen Senawang bagi tujuan perlindungan dan membantu siasatan lanjut di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM)," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Berikutan itu ujarnya, seorang wanita warga tempatan yang merupakan majikan pembantu rumah terbabit telah ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007.
Tambahnya, dua individu lain telah dikeluarkan notis saman sebagai saksi untuk hadir memberi keterangan di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Seremban.
"JIM menegaskan komitmen berterusan dalam membanteras sebarang bentuk eksploitasi dan penderaan, termasuk yang melibatkan warga asing dan akan mengambil tindakan tegas mengikut peruntukan undang-undang yang berkuatkuasa.
"Orang ramai digalakkan untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti eksploitasi atau pemerdagangan orang kepada pihak berkuasa bagi memastikan keselamatan dan keadilan dapat ditegakkan," katanya.
Ringkasan AI
- Seorang pembantu rumah warga Indonesia yang menjadi mangsa eksploitasi diselamatkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan
- Wanita tersebut ditemui bersembunyi di dalam sebuah almari pakaian di bilik utama kediaman di Taman Rasah Kemayan
- Mangsa tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah
- Majikan wanita warga tempatan pembantu rumah tersebut telah ditahan untuk membantu siasatan
- JIM berkomitmen membanteras eksploitasi dan penderaan terhadap warga asing dan mengambil tindakan tegas sesuai undang-undang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

