Belanjawan 2026: Pendidikan percuma kini bukan lagi retorik

GEORGE TOWN - Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan pendidikan percuma kepada 5,800 pelajar miskin di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) merupakan langkah awal ke arah keadilan sosial dan kesejahteraan pendidikan tinggi negara.
Presiden Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan, Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri berkata, inisiatif ini mencerminkan komitmen teguh kerajaan terhadap prinsip ihsan dan keberdayaan dalam memastikan tiada pelajar berpotensi tercicir hanya kerana kekangan kewangan.
Menurutnya, pendidikan kini tidak lagi dilihat sekadar sebagai hak individu tetapi sebagai pelaburan strategik negara untuk membina masyarakat yang progresif, berdaya saing dan inklusif.
"Dengan pengumuman ini, sejarah baharu tercipta dalam landskap pendidikan negara apabila kerajaan tampil dengan keberanian politik dan kejelasan visi untuk memulakan langkah tuntas ke arah pendidikan tinggi percuma, satu aspirasi rakyat yang sekian lama dinanti.
"Walaupun dimulakan secara terpilih, inisiatif ini wajar dilihat sebagai projek perintis untuk menilai keberkesanan sistem serta impaknya di lapangan.
"Dalam jangka sederhana, pelaksanaannya perlu diperluas kepada semua anak B40, khususnya dalam bidang strategik seperti pendidikan, kejuruteraan, kesihatan, sains data dan TVET.
"Namun, pelaksanaannya wajar mengambil kira kemampuan fiskal negara serta disokong dengan penambahbaikan sistem pembiayaan PTPTN agar ia dapat dilaksanakan secara berfasa, mampan dan benar-benar memberi manfaat kepada mereka yang memerlukan,"katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Muhammad Amir Asyraf berkata, bagi memastikan inisiatif ini benar-benar menepati matlamat asal, beberapa langkah strategik wajar dilaksanakan, termasuk penggunaan data sosioekonomi bersepadu seperti PADU dan e-Kasih bagi menilai tahap kemiskinan sebenar keluarga pelajar.
Selain itu, jelasnya, pelaksanaan pemantauan berterusan oleh Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEPA) juga diperlukan untuk mengenal pasti pelajar yang menghadapi tekanan kewangan dan memerlukan bantuan segera.
"Persatuan Alumni Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri atas keberanian politik serta kejelasan visi dalam memulakan langkah ke arah pendidikan tinggi percuma yang inklusif.
"Usaha ini bukan sahaja mengubah kehidupan ribuan pelajar B40, malah menandakan detik bersejarah dalam reformasi pendidikan tinggi negara menuju sistem yang lebih adil, mampan dan berpaksikan kesejahteraan rakyat,"tambahnya lagi.
Beliau berkata, dengan iltizam politik, pelaksanaan cekap dan dasar berasaskan data, Malaysia berpotensi mencapai sistem pendidikan tinggi percuma yang menyeluruh menjelang dekad akan datang.
Ringkasan AI
- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pendidikan percuma untuk 5,800 pelajar miskin di IPTA
- Inisiatif ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk memastikan tiada pelajar tercicir kerana kekangan kewangan
- Pendidikan kini dilihat sebagai pelaburan strategik negara untuk membina masyarakat progresif dan inklusif
- Langkah ini dilihat sebagai projek perintis dan akan diperluas kepada semua anak B40 dalam bidang strategik
- Penggunaan data sosioekonomi dan pemantauan berterusan diperlukan untuk menilai keberkesanan inisiatif ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

