Belanjawan 2026: NCCIM sambut baik usaha kerajaan fokus strategik, insentif pelaburan

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) percaya insentif yang diumumkan kerajaan pada Belanjawan 2026 mengukuhkan daya tarikan pelaburan negara dan menyokong komuniti perniagaan dalam persekitaran global yang mencabar.
Presidennya, Datuk Seri N Gobalakrishnan berkata, hala tuju yang dibentangkan itu menunjukkan hasrat kerajaan untuk menjadi lebih selektif, berorientasikan hasil dan berpandangan jauh dalam menyokong industri sama ada besar mahupun kecil sekali gus membantu meletakkan negara sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.
Menurut beliau, belanjawan kali ini dilihat meneruskan keutamaan kerajaan terhadap sektor semi konduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam sebagai pemacu strategik gelombang transformasi ekonomi negara.
"Penekanan ini adalah tepat, sektor ini menjanjikan nilai tambah yang lebih tinggi, potensi eksport yang kukuh dan ketahanan yang lebih baik terhadap ketidaktentuan global.
"Selain itu, belanjawan ini memberi isyarat sokongan yang lebih kukuh kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui geran, pembangunan kapasiti, penerapan digital, dan pembangunan modal insan bagi memastikan mereka kekal berdaya saing dan bersepadu dalam rantaian nilai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.
Gobalakrishnan berkata, kerajaan turut menyokong projek-projek besar dan bernilai tinggi termasuk Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ).
"Sokongan itu dijangka merangsang pelaburan dalam industri berteknologi tinggi dan mengukuhkan hubungan industri rentas sempadan.
"Infrastruktur dan zon ekonomi strategik sebegini memberi keyakinan kepada pelabur yang mencari skala, keterhubungan dan sokongan institusi," katanya.
Meskipun memberi pelbagai sokongan kepada perniagaan, beliau berkata, pengumuman kerajaan itu turut diseimbangkan dengan tanggungjawab sebagai matlamat mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat sambil mengekalkan sokongan penting kepada ekonomi.
"Selain itu, Belanjawan ini memperuntukkan dana khusus menyokong usahawan wanita dan belia, usahawan mikro, serta kontraktor Bumiputera supaya mereka dapat memperluaskan penyertaan dalam pembangunan negara," katanya.
Pihaknya turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan kerajaan, pihak berkuasa pelaburan dan para pemegang taruh industri bagi memastikan insentif dan reformasi dalam Belanjawan 2026 membawa pertumbuhan yang bermakna, mencipta peluang pekerjaan dan kemakmuran kepada komuniti perniagaan dan seluruh rakyat.
Ringkasan AI
- Insentif dalam Belanjawan 2026 meningkatkan daya tarikan pelaburan Malaysia dan menyokong komuniti perniagaan
- Belanjawan mengutamakan sektor semi konduktor, peralihan tenaga dan ekonomi Islam sebagai pemacu utama
- Insentif bagi perusahaan kecil dan sederhana termasuk geran, pembangunan kapasiti, dan digitalisasi
- Sokongan kepada projek besar seperti Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura untuk merangsang pelaburan industri berteknologi tinggi
- Belanjawan menyediakan dana khusus untuk usahawan wanita dan belia, mikro, dan kontraktor Bumiputera
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
